Bekas pertahanan Selangor, Kevin Deeromram, menafikan dakwaan liar yang tular di media sosial baru-baru ini mengenai hubungannya dengan pihak pengurusan yang keruh menjadi faktor dia mencapai kata sepakat bersama kelab untuk meninggalkan Selangor.
Menerusi hantaran di Story Instagram, dia berkongsi: "Berita palsu, saya tidak pernah berkata buruk mengenai pihak pengurusan.
Advertisement
"Saya menghormati pihak pengurusan dan kelab ini (Selangor), tolong jangan percaya segala yang anda baca di atas talian." katanya.
Pemain berusia 28 tahun itu mencapai persetujuan bersama Selangor bagi menamatkan kontraknya lebih awal berbanding kontrak sebenar yang berakhir pada 2028, selepas melakukan 18 penampilan dan mencetak empat gol dalam semua kejohanan buat pasukan dari Lembah Klang itu.
"Kevin Deeromram, pemain pertahanan kiri pasukan, telah mencapai persetujuan bersama kelab untuk menamatkan kontraknya selepas separuh musim bersama pasukan.
"Pihak kelab ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kevin atas segala komitmen serta sumbangan yang telah diberikan sepanjang tempoh bersama pasukan.
"Terima kasih dan selamat maju jaya dalam perjalanan karier pada masa hadapan, Kev!" jelas kelab.
