Impian perenang Jepun, Tomoru Honda untuk beraksi pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 hampir pasti berkecai selepas Persekutuan Renang Jepun mengenakan penggantungan selama 21 bulan susulan kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan dan kecederaan kepada individu lain.
Penggantungan terhadap pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu berkuat kuasa sehingga Ogos 2028, sekali gus menutup peluangnya untuk beraksi pada temasya yang dijadual berlangsung bermula 14 Julai tahun berkenaan.
Insiden berkenaan berlaku pada pagi 21 November tahun lalu di Tama, barat Tokyo, apabila Honda memandu pada kelajuan antara 88 hingga 108 kilometer sejam di kawasan yang mempunyai had kelajuan 30 kilometer sejam.
Menurut pertuduhan, Honda kemudian membelok secara mengejut ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan dari arah hadapan.
Kemalangan itu menyebabkan pemandu berusia lingkungan 60-an mengalami beberapa kecederaan termasuk patah tulang dada.
Pada September lalu, Honda dijatuhi hukuman penjara setahun yang digantung selama tiga tahun atas kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan.
Ketika perbicaraan, Honda mengakui tindakannya memecut berpunca daripada rasa tidak puas hati apabila kenderaan di hadapannya meningkatkan kelajuan. Dia kemudian berjanji tidak akan memandu lagi.
Perenang berusia 24 tahun itu turut dilaporkan sudah beberapa kali memohon maaf kepada mangsa menerusi panggilan telefon serta membayar pampasan sebanyak 1.5 juta yen (kira-kira RM38,000) menggunakan wang sendiri, selain bayaran yang ditanggung insurans.
Bagaimanapun, tindakan disiplin badan renang negara itu hanya dimuktamadkan selepas proses mahkamah selesai. Honda sebelum ini turut tidak dibenarkan menyertai Sukan Asia pada September lalu.
Dalam kenyataan rasmi, Persekutuan Renang Jepun mengesahkan penggantungan kelayakan pendaftaran selama 21 bulan mengikut Artikel 4 Peraturan Disiplin badan berkenaan.
Pengarah Eksekutif persekutuan, Hidesumi Kaneko menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapatkan pandangan penasihat undang-undang dan tidak akan diubah.
“Kami mengiktiraf bahawa ini merupakan satu kemalangan serius dan mengambil perkara ini dengan penuh tanggungjawab.
“Keputusan ini dibuat selepas berunding dengan penasihat undang-undang. Kami tidak mengambil kira kemungkinan beliau terpilih dalam skuad kebangsaan. Keputusan ini tidak akan ditarik balik,” katanya.
Honda mencipta nama apabila meraih pingat perak acara 200 meter kuak kupu-kupu lelaki pada Olimpik Tokyo 2020.
Dia kemudian memenangi pingat gangsa dalam acara sama pada dua edisi Kejohanan Dunia berturut-turut sebelum muncul juara dunia pada Kejohanan Akuatik Dunia 2024 di Doha.
Namun, kesalahan di luar kolam renang kini menyaksikan perjalanan kariernya berdepan tamparan besar, dengan peluang untuk memburu penampilan kedua di pentas Olimpik terpaksa dilepaskan.