Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mengharapkan peruntukan sebanyak RM15 juta disalurkan kepada persatuan itu atas dasar keperluan pembangunan atlet para negara.
Tegas Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shariman, pengharapan itu sudah pun disuarakan tahun lalu tetapi menemui jalan buntu.
Belanjawan 2027 akan dibentangkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Parlimen pada Jumaat ini.
"Ia untuk pembangunan dan mengenal pasti bakat yang bermula dari peringkat umbi.
"Kami perlukan peruntukan untuk pengoperasian -- persatuan tiada pejabat lagi. Atlet dan semua persatuan kebangsaan telah berikan komitmen yang baik.
"Kami percaya telah matang untuk menggalas tanggungjawab negara dan mudah-mudahan membanggakan negara.
"Saya harap perdana menteri bantu kami di MPM," katanya.
Megat D Shahriman ditemui di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) di Kampung Pandan dalam majlis penyerahan barangan keperluan atlet para negara sebelum berangkat ke Sukan Para Asia Nagoya.
Dalam majlis itu, Zero Healthcare mengumumkan ganjaran berupa RM2,000 buat pemenang emas Sukan Para Asia, pemenang perak menerima baucar RM2,000 sementara gangsa menikmati baucar RM1,000.
"Atlet para negara bekerja keras dan gigih dalam persediaan menghadapi Sukan Para Asia.
"Moga mereka menikmati rezeki yang lebih apabila pulang ke Malaysia," kata Pengarah Urusan Zero Healthcare, Tommy Tham.