Bekas penerjun wanita negara, Kimberly Bong Qian Ping, mencuri perhatian selepas mengumumkan dirinya telah memeluk agama Islam Julai lalu.
Menerusi perkongsian di media sosial, Kimberly meluahkan rasa syukur dan menyifatkan keputusan tersebut sebagai antara detik paling istimewa dalam hidupnya.
“Never been prouder of the decision I made in July. Truly one of the most special moments. Alhamdulillah 🤍,” tulisnya di Instagram.
Kimberly sebelum ini mengumumkan persaraan daripada sukan terjun pada 2024 selepas hampir 15 tahun mengharungi karier dalam sukan berkenaan.
Atlet yang sinonim dengan acara 3 meter papan anjal dan platform 10 meter itu mula mencuri perhatian ketika berusia 14 tahun apabila menyertai Kejohanan Grand Prix (GP) Terjun FINA Australia pada 2016.
Sepanjang kariernya, Kimberly turut melakar beberapa pencapaian membanggakan di pentas antarabangsa termasuk memenangi pingat emas Sukan SEA dan Terbuka Malaysia pada 2023, selain meraih pingat perak dan gangsa pada edisi Sukan SEA 2021 serta 2017.
Dalam perkembangan sama, Kimberly dilaporkan bakal melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan apabila dijangka bergelar isteri kepada bekas penyerang skuad Bawah 23 (B23) negara, Danial Asri, yang kini beraksi bersama kelab DPMM.
Perkembangan mengenai penghijrahan Kimberly ke agama Islam dan bakal perkahwinannya itu turut mendapat perhatian peminat, khususnya selepas bekas atlet negara berkenaan berkongsi detik istimewa tersebut di media sosial.