Beberapa hari lalu, kisah Roberto “Pico” Lopes menjadi perhatian dunia selepas perjalanan luar biasanya daripada seorang pegawai bank di Dublin kepada pemain Piala Dunia bersama Cape Verde.
Kini, pertahanan berusia 33 tahun itu terus mencipta cerita indah apabila membantu Cape Verde mengikat gergasi Eropah, Sepanyol, 0-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan H Piala Dunia 2026.
Lopes, yang pernah direkrut menyertai skuad kebangsaan Cape Verde menerusi mesej LinkedIn pada 2019, menjadi antara watak utama dalam benteng kebal pasukannya yang berjaya mengekang barisan bintang Sepanyol sepanjang 90 minit perlawanan.
Beraksi di Atlanta, Cape Verde bertahan dengan penuh disiplin meskipun diasak tanpa henti oleh pasukan kendalian Luis de la Fuente yang menguasai sebahagian besar penguasaan bola.
Kehadiran pemain-pemain berkualiti seperti Rodri, Pedri, Mikel Oyarzabal dan kemasukan sensasi muda Lamine Yamal pada babak kedua gagal merobohkan benteng pertahanan yang diketuai Lopes.
Malah, pemain yang masih beraksi bersama Shamrock Rovers di Ireland itu mempamerkan ketenangan dan pengalaman untuk menyekat beberapa gerakan berbahaya Sepanyol, termasuk percubaan lewat Oyarzabal yang hampir memecah kebuntuan perlawanan.
Keputusan seri tanpa jaringan itu dianggap sebagai salah satu kejutan terbesar pada minggu pertama kejohanan, dengan Cape Verde berjaya meraih mata sulung dalam sejarah penampilan mereka di Piala Dunia.
Bagi Lopes, keputusan itu menambah satu lagi babak manis dalam perjalanan hidupnya yang luar biasa.
Daripada menghabiskan masa di pejabat sebagai penasihat gadai janji, menerima mesej yang disangkanya spam di LinkedIn, sehinggalah beraksi dan membantu negaranya mengikat juara dunia 2010 di pentas terbesar bola sepak dunia.
Kini, selepas aksi cemerlang menentang Sepanyol, nama Pico Lopes pasti akan terus dikenang sebagai salah seorang wira yang membantu Cape Verde mencipta sejarah di Piala Dunia 2026.