Tindakan Olahraga Malaysia (MA) berahsia tentang isi kandungan sebenar surat daripada Olahraga Dunia (WA) menimbulkan keresahan bekas atlet olahraga yang menuntut peneraju olahraga kebangsaan itu agar lebih terbuka.
Surat yang diterima daripada WA terhadap kepincangan badan induk negara itu perlu mengambil langkah sewajarnya jika tidak mahu keadaan menjadi lebih parah.
Advertisement
Namun, hingga ke saat ini tiada pengumuman rasmi mahupun pencerahan daripada MA berhubung isu ini.
"Kami belum mendapat penjelasan daripada MA bahawa mereka telah menghantar surat kepada WA.
"MA (sepatutnya) telah memberikan penjelasan kepada media dan (hal) ini hanya dibincangkan (di peringkat) jawatankuasa dalaman walaupun sudah berlarutan selama tiga bulan.
"WA ada (menetapkan) tempoh buat MA menjawab surat tersebut," kata bekas atlet lompat jauh negara, Zaki Sadri.
Ini bukan tentang Presiden MA, Datuk Karim Ibrahim, namun keutamaan sewajarnya melibatkan atlet negara memandangkan sukan olahraga ini hidup atas keringat mereka
Apatah lagi situasi ini mampu mengancam kedudukan atlet negara serta tidak mustahil hasrat bersaing di pentas tertinggi terganggu sekiranya Malaysia digantung oleh WA rentetan tindakan ambil mudah daripada MA.
"Takut nanti WA mengambil tindakan menggantung Malaysia sebagai negara yang atletnya tidak dibenarkan mengambil bahagian.
"Kalau MA tidak memberikan jawapan konkrit secara bertulis kepada WA, (maka) inilah situasi yang akan dihadapi oleh atlet," katanya lagi.