“Yes, you are right," itu jawapan ringkas tetapi cukup jelas daripada John Beasley apabila ditanya sama ada kejayaan Datuk Azizulhasni Awang meraih emas keirin Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 mampu mengubah keputusannya untuk meninggalkan skuad berbasikal trek negara.
Beasley mengakui kemenangan anak didiknya itu amat bermakna, namun tidak mengubah keputusan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Malaysia.
Malah, jurulatih berpengalaman itu turut mengesahkan beliau bakal meneruskan perjalanan kariernya bersama Jepun.
Dalam masa sama, Beasley sudah mula mengintai satu lagi pentas terbesar -- Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028) -- yang disifatkannya sebagai lokasi ideal untuk menutup karier.
“Menuju ke LA2028, banyak pengalaman di sana. Bapa saya merupakan sebahagian daripada pasukan Australia ketika kali terakhir Sukan Olimpik dianjurkan di sana.
“Jadi ia akan menjadi penamat karier yang terbaik saya di sana nanti,” katanya.
Pengakuan itu hadir hanya selepas Beasley menyaksikan Azizulhasni melakukan henjutan terakhir yang cukup dramatik untuk menghadiahkan emas keirin kepada Malaysia di Velodrom Izu.
Emas tersebut mungkin menjadi hadiah perpisahan paling bermakna daripada Azizulhasni, namun buat Beasley, perjalanan selepas Malaysia sudah pun ditentukan.
Kini, Jepun menjadi destinasi seterusnya -- sebelum LA2028 menjadi impian terakhir dalam perjalanan panjang seorang jurulatih yang cukup sinonim dengan kejayaan berbasikal trek Malaysia.
“Yes, you are right”, John Beasley akui kemenangan Azizulhasni tidak ubah keputusannya untuk meninggalkan skuad negara, sambil mengesahkan bakal menyertai Jepun! Thank you John! 🤝@ASTROARENA pic.twitter.com/6uk1ydCgNY
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) October 2, 2026