Pemain e-sukan Jepun, Yuki Kurihara, mencipta kejutan di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila memenangi pingat emas acara Puyo Puyo Champions ketika baru sahaja berusia 11 tahun.
Kurihara menewaskan wakil Korea Selatan, Kang Dongsin, 10-2 dalam aksi final untuk muncul juara di pentas Sukan Asia.
Kemenangan itu hadir selepas pemain cilik Jepun berkenaan menampilkan prestasi cemerlang di separuh akhir dengan menundukkan wakil Thailand, Thanarak Wongkitkun, 10-1.
Thanarak berusia 28 tahun, manakala Kang pula berumur 24 tahun, menjadikan kedua-dua lawan Kurihara jauh lebih berusia daripadanya.
Dalam final, Kurihara bermula agak perlahan apabila ketinggalan 0-1, namun dia segera bangkit sebelum menguasai permainan dan menamatkan perlawanan dengan kemenangan 10-2.
Kurihara dianggap sebagai peserta termuda pada Sukan Asia edisi kali ini dan turut menjadi atlet termuda Jepun dalam sejarah penyertaan negara itu di temasya berkenaan.
Kurihara mula bermain Puyo Puyo ketika berada di tahun pertama sekolah rendah sebelum mula menyertai kejohanan kompetitif dan mencatat beberapa kemenangan ke atas pemain dewasa.
April lalu, dia memperoleh lesen profesional dan terus mengembangkan kariernya dalam arena e-sukan.
Puyo Puyo Champions merupakan permainan teka-teki yang memerlukan pemain menghubungkan bebola berwarna untuk membersihkan ruang permainan.
Walaupun masih bersekolah, Kurihara mengakui bukan mudah untuk mengimbangi latihan e-sukan dengan pembelajaran dan kelas tambahan.
Namun, dia tetap menikmati aktiviti tersebut dan menggunakan cuti musim panas untuk meningkatkan latihan serta mengembangkan kekuatan permainannya.
Kejayaan Kurihara di Aichi-Nagoya turut menambah satu lagi kisah menarik mengenai penglibatan atlet berusia muda di Sukan Asia.
Sebelum ini, pemain skateboard Indonesia, Bunga Nyimas, memenangi pingat gangsa pada usia 12 tahun di Jakarta 2018, manakala Cui Chenxi dari China memenangi emas acara street skateboarding pada usia 13 tahun di Hangzhou.
Namun, Kurihara kini mencipta sejarahnya sendiri apabila pada usia 11 tahun, dia sudah bergelar juara Sukan Asia.