Bekas Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga-M), Arif Aiman Hanapi, mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemain Malaysia ketiga sepanjang zaman berjaya menjaringkan gol menentang Chelsea.
Perkongsian oleh HarimauMYstats di X turut memaklumkan bintang Harimau Malaya itu menyamai pencapaian dua bekas pemain negara pada 2003 dan 2013.
Johor Darul Ta'zim (JDT) hampir mencipta kejutan untuk menewaskan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dalam perlawanan pramusim persahabatan antarabangsa, namun kedua-dua pasukan menamatkan permainan dengan keputusan seri 3-3 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) malam tadi.
Arif Aiman has just scored against Chelsea, making him the third Malaysian to achieve this feat after Hairuddin Omar and Fadhli Shas. pic.twitter.com/yIBE512RZs
— HarimauMYstats (@HarimauMYstats) August 9, 2026
Terdahulu, Hairuddin Omar pernah menyumbat gol menerusi tandukan deras tatkala Malaysia bertemu The Blues di Bukit Jalil pada 2003. Dalam aksi tersebut, skuad kebangsaan tewas 1-4.
Fadhli Shas turut mencatat nama selaku penjaring buat Malaysia juga melalui tandukan pada minit akhir ketika skuad negara melayani kunjungan Chelsea pada 2013. Dalam perlawanan itu, Malaysia turut tewas 1-4.
Kredit foto: Azrul Rafie