Susulan berita penambahan jurulatih baru untuk skuad badminton negara yang diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei, baru-baru ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Kenny Goh, tampil menjelaskan ia merupakan keputusan strategik yang dibuat hasil daripada perbincangan bersama Presiden BAM sendiri, Tengku Datuk Seri Zafrul, yang ingin fokus tahun 2026 adalah kepada pembangunan.
Advertisement
Perkara itu sekali gus menyaksikan lebih ramai pemain muda bakal diserap ke skuad senior elit dan lebih ramai pelapis baru akan sertai latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
"Semasa mesyuarat majlis baru-baru ini, Presiden ada menekankan kami perlu memberikan perhatian kepada pembanggunan.
"Maka, kami telah membuat keputusan terutamanya prestasi yang diketuai Datuk Seri Lee Chong Wei, telah membuatkan keputusan untuk ambil lebih ramai pemain junior tahun ini, jadi perlu ada lebih ramai jurulatih," katanya.
Keputusan untuk menaikkan lebih ramai pemain ke pentas tertinggi juga merupakan misi memberi saingan kepada pemain senior, menuju ke sasaran utama, iaitu Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
"Selagi pemain ini tidak tersasar jauh daripada sasaran, saya percaya kami berada di landasan tepat. 2026 ada kejohanan penting, kami harap pemain dapat beri aksi terbaik dan pada akhirnya terserah kepada pemain kerana mereka yang berada di dalam gelanggang." tambahnya.
