Tonggak pertahanan berpengaruh Kuala Lumpur (KL) City, Giancarlo Gallifuoco, memberi jaminan dia dan rakan sepasukan akan mencuba sedaya upaya untuk memburu kedudukan kedua terbaik Liga Super musim ini.
Mengakui kecewa tersingkir daripada saingan Piala Malaysia, bakal pemain naturalisasi Harimau Malaya itu sudah memberi segala yang termampu, namun terpaksa akur dengan kredibiliti yang dimiliki juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT).
Advertisement
Gallifuoco atau GG turut lega apabila berjaya membuka akaun jaringan sulungnya musim ini ketika menghadiahkan gol tunggal skuad Warga Kota berdepan Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) semalam.
"Saya sangat berbangga dengan karakter pasukan kami.
"Saya berharap peminat yang menyaksikan permainan kami di rumah meskipun ketinggalan agregat 0-4 melihat kami bermain dengan penuh semangat.
"Penjaga gol KL City, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, sangat cemerlang.
"Kami masih dalam perebutan tempat kedua.
"Saya akan menjadi orang paling gembira di KL City jika kami berjaya mengakhiri di tempat kedua," katanya.