Pemenang pingat gangsa, H.S. Prannoy, mengkritik penganjur Sukan Asia Aichi-Nagoya kerana disifatkannya sebagai "mengecewakan" dengan jadual pertandingan yang "kejam" untuk seluruh atlet.
Wakil India itu yang memenangi pingat gangsa acara berpasukan lelaki dalam edisi kali ini berkata ketiadaan perkampungan atlet khusus telah menghilangkan kegembiraan berinteraksi dengan pesaing lain, memandangkan mereka ditempatkan secara berasingan di hotel dan sebuah kapal persiaran.
"Keseronokan dan tujuan utama temasya pelbagai sukan ialah peluang untuk bertemu dengan pemain-pemain lain," katanya dalam satu temu bual video yang dimuat naik ke saluran YouTube Persatuan Badminton India pada hari Sabtu.
"Memang mengecewakan berada dalam situasi sebegini."
Juara Piala Thomas 2022 itu berkata penganjuran temasya kali ini jauh lebih buruk berbanding pengalamannya di Sukan Asia Hangzhou, China, di mana dia menganggotai pasukan lelaki yang memenangi pingat perak.
"Selepas temasya di China, kita menjangkakan keadaan akan bertambah baik dalam tempoh tiga atau empat tahun kemudian, namun bagi acara ini, kualitinya merosot.
"Ramai (atlet) menghadapi kesukaran daripada segi penginapan dan pengangkutan.
"Terus-terang, ia hanyalah satu acara yang sederhana dan tidak memuaskan."
Pihak penganjur belum memberikan maklum balas segera bagi mengulas kenyataan Prannoy.
Bintang di ranking ke-39 dunia itu turut mengkritik penjadualan acara badminton, dengan menyatakan bahawa pemain dalam kejohanan perseorangan terpaksa mengharungi dua perlawanan sehari, iaitu satu perlawanan lebih banyak daripada kebiasaan.
"Ia kejam kerana semua orang mahu menampilkan prestasi terbaik dalam Sukan Asia, temasya yang berlangsung empat tahun sekali.
"Sudah lama saya tidak melihat situasi di mana perlu mengharungi dua perlawanan perseorangan dalam satu hari," kata Prannoy.