Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, meletakkan penuh keyakinan bahawa beregu lelaki utama negara mampu mengembalikan keserasian mereka dengan pantas menjelang Kejohanan Badminton Dunia BWF di New Delhi, meskipun terpaksa beraksi bersama gandingan sementara sejak beberapa minggu lalu.
Malaysia sebelum ini membuat eksperimen dengan membentuk beberapa gandingan baharu sepanjang bulan lalu menerusi saingan Terbuka Jepun, Terbuka China, Terbuka Taiwan dan Masters Korea Selatan yang sedang berlangsung, bagi menilai kombinasi berpotensi untuk masa hadapan.
Kejurulatihan sektor beregu telah merombak empat gandingan dengan menampilkan kombinasi termasuk antara Aaron Chia-Aaron Tai dan Man Wei Chong-Soh Wooi Yik.
Dalam Kejohanan Dunia di New Delhi, cabaran beregu lelaki negara akan digalas oleh empat gandingan termasuk nombor empat dunia, Aaron-Woi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Bagaimanapun, Rexy percaya tiada apa yang perlu dibimbangkan apabila pemain kembali disatukan bersama pasangan asal mereka bagi menghadapi kejohanan dunia yang dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 23 Ogos ini.
Melihat kepada undian yang keluar, Rexy juga percaya pemain sudah bersedia sepenuhnya berdepan lawan masing-masing pada kejohanan berprestij itu.
"Kami tidak khuatir.
"Gandingan mereka sudah lama, bukannya minggu lepas baru digandingkan kemudian tukar lagi.
"Cuma sekarang apa yang digusarkan selepas ini adalah mengembalikan mood digandingkan.
"Dalam dua kejohanan -- Terbuka Jepun dan Terbuka China -- permainan mereka lebih bergantung ketangkasan individu," katanya.