Media sosial pada Isnin meriah dengan pelbagai perkongsian momen hari pertama persekolahan, termasuklah kisah menarik melibatkan anak-anak atlet dan bekas atlet negara.
Bekas pemain Harimau Malaya, Zaquan Adha Abd Razak, turut berkongsi detik istimewa bersama isteri ketika menghantar anak ke sekolah. Namun, kali ini bukan si kecil yang meragam, sebaliknya si ibu yang tidak dapat menahan sebak melihat anak melangkah ke fasa baharu kehidupan. Ibu-ibu faham la kan perasaan anak membesar!
Advertisement
Turut mencuri perhatian, perkongsian daripada pemain hoki negara, Faizal Saari, yang memaparkan persiapan anak-anaknya. Sepasang anak lelaki dan perempuan kelihatan segak dan manis dalam berpakaian seragam, tapi harapnya ia berkekalan sampai habis waktu sekolah la ya. Jangan comot tau!
Dalam nada lebih ceria pelumba berbasikal lebuhraya negara, Harrif Salleh, menghiburkan pengikutnya di Instagram apabila menyakat anak yang sedang tekun di dalam kelas. Mengintai daripada tingkap sambil mengajak pulang, nakal la ‘Abang Mamat’ kita ni, tapi boleh nampak bonding mereka.
Tidak ketinggalan, bekas pemain sepak takraw kebangsaan, abang Azlan Mubin, kita yang berkongsi rutin menghantar anak bersekolah di Terengganu. Walaupun sering perlu berulang-alik, apa yang mencuri tumpuan ialah keberanian si kecil yang sudah mampu ‘solo travel’ pada usia muda, satu perkara yang wajar diberi pujian.
Semoga semua anak-anak ini membesar dengan jayanya, dan siapa tahu, suatu hari nanti mereka pula bakal mengharumkan nama Malaysia seperti bapa-bapa mereka.