Chou Tien-chen mencipta satu lagi pencapaian luar biasa dalam kariernya apabila muncul sebagai perseorangan lelaki yang terbanyak beraksi, secara langsung mengatasi pemain legenda seperti Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan.
Setakat ini, bintang Taiwan itu telah terbabit dalam 923 pertarungan sejak memulakan kerjaya profesionalnya pada 2008.
Advertisement
Jumlah itu mengatasi rekod Chong Wei yang pernah beraksi dalam 919 perlawanan sebelum mengumumkan persaraannya pada 2019.
Seorang lagi legenda, Lin Dan, dari China berada di kedudukan ketiga apabila telah beraksi dalam 880 perlawanan sebelum bersara pada 2020.
Tetapi apa yang menonjol mengenai rekod Tien-chen, ialah dia tidak pernah menarik diri sebelum perlawanan mahupun di pertengahan perlawanan.
Rekod ini merupakan bukti kepada semangat dan tahap profesionalisme pemain berusia 36 tahun itu.
Lebih menakjubkan lagi, dia berjaya bangkit daripada barah kolon pada 2023 dan tahun lalu, dia menyerlahkan kebangkitannya menerusi kemaraan ke tiga final dan memenangi Terbuka Artik.
Rekod itu dijangka akan terus diperbaharui dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) yang sedang berlangsung di Ningbo, China di mana dia mara ke suku akhir.