Legenda berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, mencipta sensasi apabila memenangi pingat emas acara Keirin dalam Kejohanan Berbasikal Trek Piala Dunia UCI di Velodrom Nasional, Nilai baru-baru ini.
Selain itu, pelumba berusia 38 tahun berkenaan turut memenangi pingat gangsa acara pecut individu, sekali gus membuktikan masih memiliki keupayaan bersaing di peringkat tertinggi.
Advertisement
Dengan keadaan terkininya, ramai beranggapan The Pocket Rocketman masih layak untuk mewakili negara dalam Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Mengulas mengenai perkara itu, isterinya, Datin Athiah Ilyana Abd Samat, berkata: "No komen on that (Tiada komen mengenai perkara itu).
"Seperti yang Datuk sendiri cakap, dia mengambil satu langkah bagi satu-satu masa. Umurnya juga sudah tidak muda, jadi ia bergantung kepada tubuhnya.
"Saya memang sentiasa menyokong apa sahaja yang mahu dia lakukan tetapi ia berbalik kepada keadaan kedua, ia berkaitan umurnya dan kami juga sudah lama sangat berkorban untuknya.
"Anak-anak kami juga sudah besar dan kami amat merinduinya.
"Kita lihat bagaimana nanti, masih ada dua tahun. Berdoalah untuknya. Dia selalu cakap, ambil satu langkah bagi satu-satu masa."