Kisah di sebalik penyertaan atlet sepak takraw wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 mula menjadi perhatian apabila beberapa atlet tampil mendedahkan pengalaman yang didakwa mereka terpaksa lalui sepanjang temasya berlangsung.
Menerusi luahan yang dikongsikan di media sosial, atlet berkenaan mendakwa aspek kebajikan pasukan termasuk soal makanan, keperluan latihan, supplement dan rawatan kecederaan tidak diuruskan seperti yang sepatutnya.
Antara perkara yang paling dipersoalkan ialah isu makanan apabila atlet mendakwa mereka terpaksa meminta makanan daripada pihak pengurusan dan pada sesetengah malam hanya menikmati nasi goreng.
Malah, mereka menggambarkan keadaan itu seolah-olah perlu 'meminta-minta' untuk mendapatkan makanan walaupun mereka hadir mewakili negeri dalam temasya sukan terbesar negara.
“Adakah patut seorang pengurus tidak beri makan kepada kami? Kami sudah macam pengemis untuk minta makan sahaja. Kami jarang diberikan makan dan setiap malam hanya makan nasi goreng,” menurut luahan tersebut.
Atlet berkenaan turut mempersoalkan pengurusan supplement yang didakwa tidak diberikan kepada mereka walaupun diperlukan bagi menyokong keperluan pemulihan dan prestasi atlet sepanjang pertandingan.
“Makanan tambahan (supplement) kami sepatutnya diberi dan disediakan untuk kami, tetapi kenapa disimpan? Kenapa perlu dikunci supplement itu? Fungsinya apa simpan supplement tersebut?” persoal mereka.
Selain makanan dan supplement, kebajikan atlet yang mengalami kecederaan turut menjadi perhatian.
Menurut luahan berkenaan, seorang rakan sepasukan mengalami kecederaan ketika sesi latihan dan pengurus berada di lokasi, namun permintaan untuk mendapatkan tape sukan bagi membantu kecederaan tersebut didakwa dipersoalkan.
“Kawan kami injured masa training dan pengurus ada. Kawan kami hanya minta beli tape. Jawapannya, ‘untuk apa beli tape?’”
Atlet itu turut mendakwa bayaran untuk pemeriksaan hospital bagi kecederaan lutut masih belum diselesaikan.
Persoalan kemudian timbul mengenai sejauh mana kebajikan atlet diberi keutamaan ketika mereka mengalami kecederaan sepanjang menjalani tugasan untuk negeri.
Dalam masa sama, atlet tersebut turut mendedahkan mengenai jadual latihan yang didakwa sangat padat sebelum SUKMA dengan empat sesi sehari merangkumi waktu pagi, siang, petang dan malam.
Mereka mendakwa keadaan itu memberi tekanan fizikal kepada atlet dan pada satu ketika, jurulatih mengambil keputusan membatalkan sesi latihan malam bagi memberi ruang kepada atlet berehat.
Pendedahan itu akhirnya membawa kepada persoalan lebih besar mengenai tanggungjawab pengurusan pasukan dalam memastikan kebajikan atlet terpelihara sepanjang SUKMA.
Atlet bukan sahaja memerlukan kemudahan latihan dan bimbingan teknikal, malah aspek makanan, pemulihan, rawatan kecederaan serta keperluan asas turut memainkan peranan penting dalam memastikan mereka mampu memberikan prestasi terbaik.
Dalam masa sama, segala dakwaan yang dibangkitkan atlet wajar diberikan ruang untuk dijelaskan oleh pihak pengurusan pasukan atau pihak berkaitan bagi memastikan gambaran sebenar dapat diketahui.
Sekiranya benar berlaku kelemahan dalam pengurusan kebajikan atlet, perkara tersebut sewajarnya disiasat dan diperbaiki supaya kejadian sama tidak berulang pada masa hadapan.
Lebih penting, isu ini tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai pertelingkahan antara atlet, jurulatih dan pengurus kerana ia membabitkan soal kebajikan serta keselamatan atlet yang membawa nama negeri di pentas SUKMA.