Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Berita Sukan Am

Atasi filem antarabangsa, Papa Zola The Movie raih kutipan tayangan RM25.6 juta selepas 11 hari!

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

Papa Zola

Papa Zola The Movie terbitan MONSTA Studio dan Astro Shaw berjaya meraih kutipan tayangan sebanyak RM25.6 juta untuk 11 hari tayangan.

Lebih membanggakan, Papa Zola The Movie kini berada di kedudukan nombor satu carta Top 10 GSC, sekali gus menyaksikan filem tempatan mengetepikan francais besar antarabangsa seperti Avatar: Fire And Ash, Zootopia 2 dan Five Nights At Freddy's 2.

Advertisement

Pengarah dan Penulis Papa Zola The Movie merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak meluahkan rasa syukur apabila filem ini dipilih sebagai aktiviti percutian yang wajib ditonton ketika cuti sekolah.

“Bermulanya musim cuti persekolahan turut membuka ruang kepada keluarga untuk meluangkan masa bersama, dan kami bersyukur Papa Zola The Movie dipilih sebagai antara aktiviti percutian menonton bersama keluarga di pawagam.

"Lebih bermakna, sambutan ini digerakkan oleh perkongsian pengalaman penonton sendiri. Fenomena ‘demam kebenaran’ ini membuktikan bahawa sokongan organik terhadap filem tempatan mampu mendorong lebih ramai penonton untuk menyokong karya anak tempatan," katanya.

Manakala Penerbit Eksekutif Papa Zola The Movie yang juga selaku Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata dia amat berbesar hati kerana filem tersebut dapat menyaingi filem antarabangsa popular Holywood, sekali gus menunjukkan keupayaan industri animasi Malaysia di persada dunia.

“Kami amat berbesar hati dan bersyukur atas pencapaian Papa Zola The Movie. Dalam persaingan sengit dengan pelbagai filem baharu daripada francais popular Hollywood, kejayaan ini membuktikan bahawa filem tempatan mampu memberi saingan yang kuat.

"Pencapaian ini sekali gus mencerminkan keupayaan industri kreatif tempatan untuk menghasilkan kandungan berkualiti tinggi yang relevan dengan citarasa penonton pelbagai lapisan. Terima kasih kepada semua peminat dan penonton yang terus menyokong Papa Zola The Movie di pawagam," ujarnya.

Papa Zola The Movie mengisahkan Papa Zola, seorang bapa yang bekerja keras menyara keluarga kecilnya. Tanpa diduga, dia bertemu semula dengan rakan lama yang pernah berkhidmat bersamanya dalam organisasi rahsia P.A.P.A (Protect and Prevent Agency).

Namun keadaan menjadi genting apabila anaknya, Pipi, diculik makhluk asing. Papa Zola bersama Mama Zila perlu bertindak pantas untuk menyelamatkan Pipi dan melindungi dunia daripada ancaman tersebut.
Filem ini kini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.

Filem ini bakal melangkah panggung antarabangsa bermula Januari 2026 di Indonesia dan di India, Vietnam dan pasaran Timur Tengah yang merangkumi Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar serta Turki pada April 2026.
- Gempak

 

Must Watch Video