Hampir 300 pelajar daripada 60 sekolah menyertai Klinik STL 2026 di SMK Seri Pantai
Klinik STL 2026 membuka tirai dengan penganjuran klinik sulung musim ini di SMK Seri Pantai, Kuala Lumpur hari ini, dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL).
Program ini menghimpunkan hampir 300 pelajar daripada 60 sekolah sekitar Kuala Lumpur, melibatkan empat daerah iaitu Bangsar, Pudu, Keramat dan Sentul. Berbeza daripada penganjuran tahun lalu yang melibatkan komuniti Orang Asli, Klinik STL 2026 menyaksikan penyertaan pelajar daripada pelbagai latar belakang, termasuk pelajar berbangsa Cina dan India serta pelajar daripada pelbagai kaum dan etnik dari Sabah dan Sarawak.
Program ini turut disertai pelajar wanita daripada Program Sukan Untuk Gadis Remaja (SUGAR), sekali gus menjadikan sepak takraw sebagai platform untuk menggalakkan penyertaan lebih inklusif serta memupuk perpaduan dalam kalangan generasi muda.
Kehadiran pemain KL Thunder dan pemain kebangsaan, Mohammad Syahir Mohd Rosdi turut memberi peluang kepada para pelajar untuk beramah mesra dan menerima tunjuk ajarnya dalam sukan sepak takraw.

Menurut Syahir, “Perjalanan saya dalam sukan sepak takraw juga bermula sejak di bangku sekolah. Sebab itu, saya tahu betapa pentingnya pendedahan awal dalam membuka peluang kepada anak muda untuk mengenali sukan ini dan mengembangkan bakat mereka. Sebagai pemain senior, saya berharap lebih ramai generasi muda diberikan peluang yang sama untuk mempelajari sepak takraw dan melangkah lebih jauh dalam sukan ini.
"Usaha seperti Klinik STL perlu diteruskan kerana kita bukan sahaja mahu melahirkan pemain untuk hari ini, tetapi juga membina generasi pelapis yang mampu meneruskan kecemerlangan sepak takraw Malaysia pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, sesi latihan dikendalikan oleh Suhairi Sulaiman, Ketua jurulatih Klinik STL musim ini yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan. Menurut Suhairi, “Kita tidak boleh sekadar berbangga dengan kejayaan yang dikecapi oleh sepak takraw Malaysia hari ini.
Sebaliknya, kita perlu terus berusaha melahirkan generasi pelapis yang mampu membawa kecemerlangan ini ke tahap yang lebih tinggi.
Pembangunan bakat perlu bermula di peringkat akar umbi dengan memberikan pendedahan, bimbingan dan peluang kepada generasi muda untuk mengembangkan potensi mereka. Ini termasuk bakat wanita yang juga perlu diberi ruang untuk berkembang dalam sukan ini.

Saya berharap Klinik STL dapat menjadi salah satu platform untuk mencungkil bakat baharu dan membina barisan pemain pelapis yang mampu meneruskan perjuangan serta mengharumkan nama Malaysia pada masa hadapan,” katanya.
Lima siri Klinik STL 2026 terbuka akan berlangsung di Perak pada 24 Oktober 2026, Melaka pada 14 November 2026, Negeri Sembilan pada 12 Disember 2026, Johor pada 19 Disember 2026 dan Selangor pada 9 Januari 2027.
Siri ini menjadi platform pemilihan bakat untuk menyertai Kem Final Klinik STL 2026, yang dijadualkan berlangsung pada 13 hingga 17 Januari 2027 di Akademi Sepak Takraw Malaysia. Peserta terpilih akan menjalani latihan lebih intensif bagi mengembangkan kemahiran dan potensi mereka dalam sukan sepak takraw.
Pendaftaran Klinik STL 2026 dibuka kepada peserta lelaki dan wanita berusia dari 13 hingga 17 tahun. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran layari, www.astro.com.my/klinikSTL
