Seramai 225 peserta hadir bagi merebut peluang menonjolkan bakat masing-masing dalam pemilihan Astro Kem Badminton (AKB) di Johor Bahru, minggu ini, dalam usaha mencari pelapis baharu sukan badminton negara.
Penyertaan kali ini dilihat cukup memberangsangkan, dengan kehadiran pemain muda yang bukan sahaja menunjukkan minat tinggi malah mempunyai potensi untuk digilap ke peringkat lebih tinggi.
Advertisement
Menarik perhatian dalam pemilihan kali ini ialah kehadiran bekas pemain kebangsaan, Go Pei Kee, yang baru sahaja mengumumkan keputusannya untuk keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Hadir atas kapasiti jurulatih jemputan AKB, dia melihat program akar umbi seperti ini sebagai platform penting dalam membentuk generasi baharu badminton negara.
Baginya, penglibatan dalam program ini juga menjadi sebahagian daripada ruang baharu yang sedang diterokainya selepas meninggalkan badan induk badminton negara itu.
"Saya menerima jemputan Astro dan saya berasa gembira dapat belajar sesuatu di sini.
"Ini peluang untuk saya menerokai ruang baru dan membantu menggilap bakat pemain muda," kata bekas pemain kebangsaan itu di Nadi Arena.
Selepas Johor Bahru, sesi pemilihan AKB akan diteruskan ke Miri dan Kuala Lumpur dalam usaha memperluas pencarian bakat muda di seluruh negara.
"Saya lihat banyak penyertaan pada hari ini untuk bakat akar umbi.
"Saya berterima kasih kepada jurulatih dan ibu bapa atas pengorbanan mereka untuk kem ini," kata Setiausaha Persatuan Badminton Johor, Mohamad Qayyum Shamsudin.