Skip to main content

Berita Sukan Am

Astro Arena terima Anugerah Inspirasi Madani, perkukuh peranan dalam ekosistem sukan tempatan

Astro Arena terima Anugerah Inspirasi Madani, perkukuh peranan dalam ekosistem sukan tempatan

Saluran sukan tempatan, Astro Arena, terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri apabila menerima pengiktirafan Anugerah Inspirasi MADANI sempena Hari Harta Intelek Negara 2026 (HHIN 2026) yang berlangsung di Menara MyIPO, hari ini.

Anugerah tersebut mengiktiraf peranan Astro Arena dalam membentuk ekosistem sukan negara menerusi penghasilan, pembangunan serta pengukuhan kandungan sukan sebagai harta intelek bernilai tinggi. 

Advertisement

Dalam era sukan moden yang semakin berkembang melangkaui aksi di gelanggang, Astro Arena dilihat berjaya menterjemahkan detik-detik sukan kepada kandungan yang berimpak dan berdaya tahan, sekali gus merapatkan hubungan antara atlet, peminat dan rakan komersial.

Rancangan seperti Nadi Arena, Nadi Bola, Nadi Weekend dan Nadi Terkini memainkan peranan penting dalam memastikan liputan sukan yang menyeluruh dan seimbang kepada penonton, merangkumi pelbagai dimensi daripada perkembangan semasa, analisis perlawanan hingga kepada kisah di sebalik tabir dunia sukan. 

Nadi Arena tampil sebagai platform utama yang merangkum berita dan isu semasa pelbagai jenis sukan, manakala Nadi Bola memberi fokus khusus kepada bola sepak dengan perbincangan taktikal, prestasi pasukan dan pemain. 

Nadi Weekend pula menghimpunkan sorotan aksi sepanjang minggu termasuk keputusan penting dan momen menarik, sementara Nadi Terkini menyampaikan kemas kini pantas dan padat mengenai perkembangan terbaru. 

Pengisian sukan antarabangsa pula dipersembahkan menerusi Nadi World manakala kehadiran rancangan terbaru, Nadi Meledak yang bersifat perbincangan serta perdebatan mengenai hala tuju sukan tempatan. 

Gabungan keenam-enam rancangan ini membolehkan penonton mengikuti landskap sukan secara komprehensif — bukan sahaja dari segi keputusan di gelanggang, tetapi juga naratif, analisis dan impak yang lebih luas dalam industri sukan negara.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John, menyifatkan pengiktirafan ini sebagai satu pencapaian signifikan yang mencerminkan usaha berterusan pihaknya dalam membangunkan kandungan sukan secara strategik.

“Pengiktirafan ini amat bermakna kerana ia mencerminkan usaha berterusan kami -- bukan sekadar membuat liputan, tetapi bagaimana kami membentuk dan mengembangkan kandungan sukan. Dengan mengetengahkan kisah atlet secara bermakna, melindungi kandungan serta bekerjasama rapat dengan rakan strategik, kami berhasrat membina harta intelek sukan yang memberi nilai berpanjangan kepada atlet, peminat dan industri,” katanya.

Sejak penubuhannya pada 2010, Astro Arena komited memajukan sukan tempatan melalui pelaburan berterusan dalam kandungan tempatan. Ini termasuk liputan konsisten liga bola sepak popular negara serta pembangunan harta intelek sukan seperti Sepak Takraw League (STL) dan Netball Super League (NSL).

Selain siaran langsung, Astro Arena turut memperkukuh penglibatan peminat menerusi program asli dan kandungan digital yang mengutamakan platform baharu. Pendekatan ini bukan sahaja mengangkat profil atlet tempatan, malah memastikan relevansi sukan kekal berterusan di luar hari perlawanan serta membuka peluang pertumbuhan komersial yang lebih luas dalam ekosistem sukan.

Komitmen Astro Arena juga terserlah di peringkat akar umbi melalui pelaksanaan klinik sukan dan program berasaskan sekolah seperti Astro Kem Badminton, Klinik STL dan Klinik NSL. Inisiatif ini mencerminkan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan bakat muda serta pengukuhan sukan remaja di seluruh negara.

Dianjurkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia, HHIN 2026 berlangsung dari 28 hingga 30 April dengan tema “Harta Intelek, Nadi Malaysia MADANI: Dari Idea ke Podium”. Program ini menekankan kepentingan harta intelek dalam memacu inovasi, pembangunan jenama serta pertumbuhan komersial dalam industri sukan.

Anugerah Inspirasi MADANI yang diperkenalkan buat julung kali tahun ini turut memberi penghormatan kepada atlet, pasukan dan organisasi yang menyumbang kepada pembangunan industri sukan melalui pemerkasaan harta intelek. Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali.

Must Watch Video