Skip to main content

Sukan Lain

Aspirasi keperluan universiti sukan Malaysia: emas Olimpik, Piala Dunia FIFA dan larian 100 meter bawah 10 saat.

Hadafi
Advertisement

Malaysia perlu menetapkan tiga aspirasi prestasi tinggi sebagai antara petunjuk hala tuju pembangunan sukan negara, iaitu memenangi pingat emas Olimpik pertama, melayakkan pasukan bola sepak lelaki kebangsaan ke Piala Dunia FIFA dan melahirkan pelari pecut 100 meter lelaki yang mampu mencatat masa di bawah 10.00 saat. Sasaran tersebut bukan mustahil secara prinsip, namun pencapaiannya memerlukan pembangunan atlet berasaskan data, kenalpasti bakat sejak usia muda, latihan mengikut prinsip fisiologi, pengukuran biomekanik, sokongan psikologi, pemakanan, pencegahan kecederaan serta pemantauan analisis prestasi jangka panjang. Cadangan penubuhan Universiti Sukan Malaysia sebagai suatu keperluan strategik nasional yang mendesak, bukan sekadar penambahan sebuah institusi pengajian tinggi.

Selepas penyertaan selama beberapa dekad dalam Sukan Olimpik, Malaysia masih belum berjaya memenangi pingat emas pertamanya sehingga Olimpik Paris 2024 berbanding negara jiran ASEAN yang lain. Persoalan utama yang perlu dibangkitkan ialah mengapa sebuah negara yang mempunyai bakat sukan, kemudahan latihan, institusi pendidikan tinggi dan pelaburan pembangunan atlet masih belum mencapai kejayaan tertinggi tersebut? Malaysia sepatutnya berani menetapkan aspirasi yang lebih besar, termasuk memenangi pingat emas Olimpik, melayakkan pasukan bola sepak kebangsaan ke Piala Dunia FIFA dan melahirkan pelari pecut 100 meter yang mampu mencatat masa di bawah 10 saat. Ketiga-tiga aspirasi ini memerlukan lebih daripada semangat patriotisme atau program latihan jangka pendek.

Advertisement

Negara memerlukan sebuah institusi khusus yang menyepadukan sains sukan, penyelidikan, pembangunan bakat, teknologi dan kecerdasan buatan, perubatan sukan dan kepakaran profesional secara sistematik. Penubuhan Universiti Sukan Malaysia wajar dinilai sebagai satu instrumen transformasi jangka panjang bagi membina keupayaan sukan negara yang berasaskan bukti saintifik. Sebuah universiti khusus boleh menjadi pusat penyelidikan dan penyedia kepakaran bagi menyokong matlamat ini melalui kerjasama dengan Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, persatuan sukan kebangsaan dan institusi pendidikan. Sudah tiba masanya Malaysia menilai semula pendekatan pembangunan sukan negara secara lebih berani, sistematik dan berpandangan jauh. Kejayaan Korea Selatan, Jepun, China dan Jerman memperlihatkan bahawa universiti khusus sukan mampu menjadi komponen penting dalam pembangunan atlet, modal insan, penyelidikan, inovasi dan industri.

Korea Selatan menyediakan contoh yang relevan melalui Korea National Sport University (KNSU), sebuah institusi yang mengintegrasikan pendidikan akademik dengan pembangunan atlet berprestasi tinggi. Berdasarkan rekod rasmi KNSU, pelajarnya menyumbang tujuh daripada 28 pingat yang dimenangi Korea Selatan pada Olimpik London 2012. Manakala, Jepun membuktikan kepentingan institusi pendidikan sukan melalui Nippon Sport Science University (NSSU), yang mempunyai sejarah panjang dalam pembangunan atlet bertaraf antarabangsa. Menurut rekod rasmi universiti tersebut, pencapaian Olimpiknya merangkumi 49 pingat emas, 53 perak dan 51 gangsa. Malaysia sendiri pernah menghantar delegasi Road to Gold mempelajari model Nippon Sport Science University di Jepun.

Advertisement

Seterusnya, Beijing Sport University di China memperlihatkan bagaimana institusi khusus sukan boleh menyumbang kepada pembangunan modal insan dan penyelidikan prestasi tinggi pada skala nasional. Universiti tersebut melaporkan telah melatih lebih 130,000 tenaga profesional dalam bidang pendidikan sukan, sukan kompetitif, sains dan teknologi sukan, pengurusan serta industri sukan. German Sport University Cologne di Jerman membuktikan bahawa pembangunan universiti khusus sains sukan merupakan suatu pendekatan institusi yang melangkaui fungsi pengajaran dan latihan atlet semata-mata. Dengan 19 institut akademik dan lima pusat pemindahan ilmu, universiti tersebut mengintegrasikan penyelidikan prestasi manusia, biomekanik, perubatan sukan, rehabilitasi, pendidikan, teknologi dan pengurusan industri. Malaysia wajar meneliti model ini sebagai asas pembangunan sebuah ekosistem sains sukan nasional yang mampu menyokong pencapaian atlet elit, menghasilkan tenaga profesional berkemahiran tinggi serta memperkukuh industri teknologi sukan tempatan.

Oleh itu, ia adalah satu keperluan penubuhan jawatankuasa khas bagi menilai cadangan Universiti Sukan Malaysia sebagai agenda strategik pendidikan tinggi negara. Keputusan tersebut perlu dibuat berdasarkan bukti, analisis kos-manfaat dan keperluan sebenar negara, bukannya sentimen atau aspirasi semata-mata. Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada harapan untuk melahirkan juara dunia tanpa membina sistem ilmu, teknologi dan kepakaran yang menyokong pembentukan juara tersebut. Ia hendaklah melalui kerangka plan strategik yang jelas iaitu, “Plan by Design, Not by Chance.” Pingat emas Olimpik PERTAMA NEGARA, kelayakan Piala Dunia BOLASEPAK NEGARA dan catatan 100 meter bawah 10 saat perlu dijadikan aspirasi yang mendorong keperluan tindakan saintifik oleh universiti sukan malaysia, bukan sekadar impian yang diulang setiap kali pertandingan berlangsung.

Tiga pilihan perlu dinilai secara objektif, iaitu penubuhan universiti baharu, penaiktarafan institusi sedia ada atau pembentukan konsortium universiti sukan nasional. Antara bidang akademik yang dicadangkan ialah Teknologi Sukan dan Kecerdasan Buatan, Terapi Sukan dan Rehabilitasi, Pengurusan dan Industri Sukan serta Kejurulatihan Sukan dan TVET sukan. Malaysia perlu memahami bahawa pelaburan dalam universiti sukan Malaysia bukan hanya bertujuan meningkatkan kedudukan pingat negara, tetapi berpotensi membangunkan ekonomi baru Negara seperti kejayaan penganjuran Formula One Bahrain di Sepang baru baru ini jelas dibuktikan melalui aplikasi teknologi sukan, pelancongan sukan, pengurusan acara dan fasiliti sukan, analisis data sukan dan pelbagai lagi.

Secara tuntasnya, pelaksanaan perlu mempunyai petunjuk prestasi yang jelas, termasuk jumlah penyelidik dan tenaga pakar terlatih, projek penyelidikan bersama persatuan sukan, inovasi yang dikomersialkan, kebolehpasaran graduan, peningkatan indikator prestasi atlet dan sumbangan kepada kesihatan Masyarakat Malaysia. Justeru itu, peranan universiti ialah memperkukuh asas saintifik dan keupayaan sistem yang membolehkan aspirasi besar negara diterjemahkan kepada kejayaan sukan negara. Persoalannya bukan sama ada kita mempunyai impian tersebut, tetapi adakah kita sudah membina sistem ilmu dan penyelidikan yang cukup kukuh untuk merealisasikannya? Penubuhan Universiti Sukan Malaysia adalah cita-cita sukan negara yang dapat diterjemahkan kepada dasar, pelaburan, pembangunan kepakaran dan pencapaian yang boleh diukur.

Disediakan Oleh,
Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip
Pensyarah sains sukan 
Universiti Teknologi Malaysia.
 

Anda mungkin berminat dengan

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Related Topics

Must Watch Video