Ke mana pun pemilik nama Mohamad Ashran Hamsani melangkah, dia akan selalu membawa bersama prestij dan kecintaannya dalam sukan hoki, tidak kira hoki padang mahu pun hoki dalam dewan.
Atas komitmen dan kesungguhannya, Ashran dinobat sebagai Ikon Sukan Politeknik Malaysia pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan Politeknik (PolySEA) 2025 yang berlangsung di Gong Badak, Terengganu pada malam tadi.
Advertisement
Anak ketujuh daripada lapan adik beradik itu dilihat sebagai contoh terbaik dan sumber inspirasi kepada atlet yang masih menuntut di rangkaian politeknik seluruh negara untuk tidak cepat mengalah berdasarkan kisah jatuh bangunnya Ashran dalam menggalas cabaran negara sehingga ke pentas Piala Dunia.
Ashran yang pernah dinobat sebagai olahragawan PolySEA 2017 mengembangkan lagi bakatnya dalam sukan hoki ketika menuntut di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Perak dan mula menyarung jersi skuad kebangsaan ketika menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan awam di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Shah Alam.
Anak kelahiran Perak itu antara pemain yang pernah mendapat pendedahan di luar negara dimana pada 2016, Ashran menerima tawaran untuk berlatih bersama Uddingston Hockey Club di Scotland selama 4 bulan.
Ashran yang bakal menyambut ulangtahun ke-31 pada 20 April nanti terkenal sebagai pemain pilihan dalam skuad kendalian Arul Selvaraj ekoran kebolehannya yang versatil sebagai penyerang tunggal dan pemain tengah dengan sosok tubuh kecil yang memudahkan pergerakannya menyelinap ke kubu lawan.
Tahniah idola anak muda!