Skip to main content

Bola Sepak

Arsenal tetap pilihan utama juara EPL?

jj

Legenda Manchester United, Wayne Rooney percaya Arsenal masih menjadi pilihan utama untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini biarpun tewas mengejut kepada pencabar terdekat, Manchester City pada Ahad.

Kekalahan di Stadium Etihad itu menyaksikan skuad kendalian Mikel Arteta berputih mata selepas Erling Haaland meledak gol kemenangan pada minit ke-65, sekali gus merapatkan jurang mata di puncak liga.

Advertisement

Keputusan itu membolehkan City berpeluang memintas kedudukan The Gunners sekiranya mereka berjaya menewaskan Burnley di Turf Moor pada aksi tengah minggu ini berdasarkan kelebihan perbezaan gol.

Bagaimanapun, Rooney berpendapat, masih terlalu awal untuk menyingkirkan nama Arsenal daripada persaingan biarpun rata-rata penganalisis dan syarikat pertaruhan kini meletakkan City sebagai calon pilihan.

"Perebutan takhta ini belum berakhir. Saya merasakan akan ada lebih banyak drama dan 'plot twist' selepas ini.

"Situasi ini pastinya sengit, namun City mempunyai satu lagi perlawanan yang perlu dimenangi. Jadi, saya tetap meletakkan Arsenal sebagai pilihan utama (juara).

"Saya pernah berada dalam situasi ini, di mana anda perlu menang semua baki perlawanan untuk bergelar juara. Di atas kertas kita rasa boleh menang, tetapi realitinya tidak semudah itu.

"Sehingga ke penghujung musim, segalanya bergantung kepada pasukan mana yang mampu mengekalkan ketenangan. Pasukan itulah yang akan bergelar juara," katanya.

Dalam pada itu, pengendali City, Pep Guardiola enggan mendabik dada dan mengingatkan anak buahnya bahawa perjalanan untuk mempertahankan kejuaraan masih jauh daripada garisan penamat.

"Saya tidak rasa Arsenal sedang berada dalam momentum buruk. Jadual liga menjelaskan segala-galanya, mereka adalah yang terbaik setakat ini.

"Tahniah kepada pemain saya, tetapi jangan hilang fokus. Kita ada perlawanan dalam tangan pada Rabu ini dan kita perlu menang.

"Namun ia bukan tugas mudah kerana kita akan menentang pasukan seperti Everton, Brentford, Aston Villa dan Crystal Palace," ujar Guardiola.

Sementara itu, Mikel Arteta memberikan jawapan tegas ketika ditanya sama ada beliau masih menaruh harapan untuk melihat pasukannya bangkit daripada kemerosotan saat akhir ini.

"100 peratus (masih yakin). Saya katakan kepada pemain, kita perlu bermuhasabah. Kita melakukan banyak perkara dengan betul untuk mengawal perlawanan.

"Kami mempunyai peluang terbaik dalam perlawanan tersebut, namun gagal menyempurnakannya. Itulah realiti yang harus diterima," katanya. - Sinar Harian

Must Watch Video