Bekas bintang England, Joe Cole mencetuskan sensasi apabila menyarankan Arsenal agar menjual kapten mereka, Martin Odegaard pada jendela perpindahan musim panas ini bagi memberi laluan kepada kemasukan bintang Paris Saint-Germain (PSG).
Cole yang kini menjadi pengulas bola sepak percaya sudah tiba masanya untuk The Gunners melepaskan pemain berusia 27 tahun itu memandangkan musim ini merupakan tempoh paling sukar buat Odegaard sejak perpindahan tetapnya bernilai £34 juta dari Real Madrid pada 2021.
Advertisement
Setakat ini, Odegaard hanya memulakan 13 perlawanan liga akibat masalah kecederaan berulang yang menjejaskan prestasinya dengan hanya merekodkan satu gol dalam semua kejohanan.
Malah, pengendali Norway, Stale Solbakken mendedahkan bahawa pemain tengah itu kini berada dalam keadaan 'sangat kecewa dan murung' ekoran kecederaan yang terus menghantui kariernya di Stadium Emirates.
Walaupun pengendali Arsenal, Mikel Arteta dikatakan masih memberi sokongan penuh kepada kaptennya itu, Cole mempunyai pandangan berbeza selepas melihat perkembangan luar biasa pemain muda berusia 16 tahun, Max Dowman.
"Cara Arsenal dibentuk sekarang, mereka berada di ambang kejayaan. Jika mereka memenangi satu trofi, mereka akan terus melonjak.
"Saya rasa mereka mungkin akan melepaskan Martin Odegaard. Mereka kini mempunyai kemewahan untuk melakukan perkara itu kerana adanya pemain muda seperti Max Dowman dan Ethan Nwaneri yang sedang meningkat naik. Jadi, anda boleh 'tunai' kan (jual) beberapa pemain utama," katanya.
Menurut Cole, hasil jualan Odegaard boleh digunakan untuk membiayai kontrak besar pemain seperti Declan Rice, William Saliba dan Gabriel yang pastinya menuntut gaji setaraf bintang Real Madrid.
Dalam masa sama, Cole turut mendesak Arsenal untuk membawa masuk pemain sayap lincah PSG, Khvicha Kvaratskhelia bagi memperkuatkan lagi jentera serangan musim depan.
"Bayangkan meletakkan Kvaratskhelia dalam pasukan Arsenal ini. Dia adalah antara pemain paling menarik di Eropah ketika ini," tambahnya.
Arsenal kini dalam landasan terbaik untuk menamatkan kemarau 22 tahun gelaran Liga Perdana Inggeris meskipun baru sahaja dikecewakan dengan kekalahan 0-2 kepada Manchester City dalam perlawanan akhir Piala Liga. - Sinar Harian