Pendahulu kategori Supersport 600, Muhammad Helmi Azman, kini bersedia menghadapi pusingan kedua Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar antarabangsa Buriram, Thailand, minggu ini.
Meskipun mengakui Buriram sebagai antara litar paling mencabar dalam kalendar, Helmi tetap optimis momentum cemerlang di Sepang mampu diteruskan, dengan sasaran memburu podium berganda pada hujung minggu ini.
Advertisement
"Saya membuat latihan tambahan untuk menghadapi litar di Buriram.
"Saya agak bergelut di sana dan lagipun keputusan yang saya capai tahun lalu agak teruk, tiada langsung podium.
"Jadi saya cuba untuk kekal positif walaupun berdepan kesukaran kerana bukan mudah untuk menghadapi pelumba Thailand.
"Saya perlu segala upaya perbaiki kesilapan tahun lalu," katanya di Nadi Arena.
Dalam masa sama, pelumba Idemitsu Honda Racing Malaysia itu tidak pandang mudah cabaran di Thailand, lebih-lebih lagi selepas sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat dan ketujuh pada edisi lalu.
Namun, Helmi percaya peningkatan daripada segi pelarasan jentera musim ini mampu memberikan kelebihan tambahan untuk merealisasikan misi podium.
"Ada dua laluan lurus yang begitu panjang yang memberi kelebihan kepada jentera yang kuat.
"Sektor kedua dan ketiga perlumbaan melibatkan aspek teknikal dan di situ saya berkesempatan rapatkan kedudukan dengan pelumba di depan. Saya harapkan kemajuan jentera berbanding tahun lalu.
"Keputusan di Sepang memberi saya semangat untuk menghadapi perlumbaan minggu ini," katanya lagi.
Untuk rekod, Helmi kini mendahului carta keseluruhan dengan kutipan 45 mata, sekali gus meletakkan dirinya sebagai pencabar utama kejuaraan musim ini.