Tumpuan kini terarah kepada prestasi dua pelumba negara, Azroy Hakeem Annuar dan Khairul Idham Pawi, menjelang aksi pusingan pertama Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 hujung minggu ini dengan mengambil kira pencapaian mereka dalam pusingan kedua musim lalu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Azroy Hakeem yang bakal beraksi dalam kategori ASB 1000 2025, tampil cemerlang di SIC apabila meraih kejuaraan berganda dalam kedua-dua perlumbaan itu.
Advertisement
Prestasi dominan itu membuktikan keupayaannya menguasai litar di laman sendiri, secara tidak langsung meletakkannya sebagai antara pencabar utama musim ini biarpun baru kembali daripada kecederaan patah kaki dalam Kejuaraan Cub Prix Disember lalu.
"Bukan Hafizh Syahrin (abdullah) seorang sahaja malah pelumba-pelumba lain juga adalah pencabar utama.
"Untuk perlumbaan pertama ini, semua pelumba masih dalam fasa untuk berhabis-habisan setelah sekian lama berehat.
"Tapi yntuk tempoh sekarang, saya baru tiga bulan sembuh daripada patah kaki jadi fizikal saya mungkin di tahap 60 peratus.

"Trauma terjatuh dan patah kaki pasti ada untuk pusingan awal tapi sebagai penunggang, saya tidak boleh biarkan ia menjadi penghalang," katanya di Nadi Arena sebentar tadi,.
Sementara itu, pelumba kategori SS600, Khairul Idham, turut mempamer aksi kompetitif dengan meraih gelaran naib juara dalam perlumbaan kedua edisi lalu.
Walaupun berdepan saingan sengit, idham mengutip mata penting dan menunjukkan peningkatan daripada segi rentak serta konsistensi sepanjang perlumbaan.
"Saya kini lebih bersedia berbanding tahun lalu.
"Saya sasarkan podium dalam perlumbaan minggu ini dan cuba bersaing sedaya upaya untuk pasukan," katanya pula.