Skip to main content

Para ASEAN

APG: Ponteng sekolah, hilang suara demi sokong atlet para negara

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

APG: Ponteng sekolah, hilang suara demi sokong atlet para negara

Tatkala sebahagian rakan seusianya berada di bilik darjah, Nik Zara Zulaikha, memilih untuk menghabiskan masa di bangku penonton stadium, bersorak penuh semangat buat abangnya, Nik Muhd Joe Asyraff, atlet renang para negara yang beraksi di pentas antarabangsa.

Meskipun terpaksa ‘ponteng sekolah’ secara bersurat, kehadiran remaja itu di temasya berkenaan disifatkan sebagai pengalaman bermakna yang bukan sahaja menyuntik semangat kepada atlet negara, malah membina nilai empati serta penghargaan terhadap pengorbanan atlet para yang berjuang mengharumkan nama Malaysia.

Advertisement

Tindakan Nik Zara turut melambangkan semangat patriotisme dan keprihatinan seorang remaja terhadap perjuangan atlet negara di pentas sukan antarabangsa.

“Ya betul, saya ponteng sekolah untuk sokong abang saya yang bertanding di Korat dalam acara renang para,” kata Nik Zara," katanya kepada wartawan, Husna Zainudin.

Namun jelasnya, ketidakhadiran ke sekolah itu dilakukan mengikut saluran yang betul dengan pengetahuan pihak sekolah.

“Saya ponteng secara bersurat, ibu saya tulis surat kepada pihak sekolah untuk memaklumkan saya bercuti beberapa hari bagi menyokong atlet para negara,” ujarnya.

Sokongan padu yang diberikan sememangnya sekuat tenaga apabila Nik Zara mengakui suaranya hampir hilang akibat terlalu kuat menjerit memberikan kata-kata semangat dari tempat duduk penonton.

“Suara saya sampai hilang kerana menjerit beri semangat kepada atlet negara supaya mereka tahu rakyat Malaysia sentiasa ada untuk mereka,” katanya.

Menurutnya, sokongan terhadap atlet negara bukan hanya terhad kepada ahli keluarga atau satu cabang sukan semata-mata, sebaliknya merangkumi semua atlet yang berjuang membawa nama Malaysia.

“Saya janji akan terus menyokong mereka sehabis baik tak kira apa jenis sukan sekalipun.

"Yang penting saya mahu buktikan sokongan penuh kepada atlet negara,” katanya.

Kehadiran Nik Zara di stadium bukan sekadar simbol sokongan keluarga, tetapi cerminan bagaimana peranan kecil seorang remaja mampu memberi impak besar terhadap motivasi atlet yang berjuang demi negara.

Topik Berkaitan

Must Watch Video