Penerima Anugerah Putera MSSM 2025 dalam majlis Anugerah Sukan MSSM-KPM-MILO 2025, Azri Azhar Amaluz Zaman, berkongsikan perjalanan karier kriketnya yang bermula di Kelantan.
Uniknya, pada awalnya dia mula menyertai sukan bola sepak di peringkat awal sebelum berjinak-jinak dengan sukan kriket sehingga bakatnya mula dikesan oleh untuk menyertai sukan itu sehingga kini.
"Saya tidak tahu sukan kriket, tak pernah dengar sehingga ada seorang cikgu perkenalkan kepada saya sehingga saya ikuti sukan ini dan tinggalkan sukan bola sepak.
"Tak sangka, dalam negara bukan saya sahaja yang bermain di peringkat tertinggi. Tak semua orang tahu sukan kriket di Kelantan, selepas saya masuk baru SSBJ baru ramai orang tahu.
"Cita-cita saya mahu jadi guru sebelum ini, sekarang berubah saya mahu fokus dengan sukan saya sekarang ini." kongsinya.
Untuk rekod, pelbagai pencapaian luar biasa direkodkan Azri sepanjang tahun lalu, antaranya kilauan dua pingat emas dalam Sukan SEA Thailand menerusi acara T20i dan T10.
Sementara itu, Ketua jurulatih kriket Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Ahmad Faiz Mohammad Noor, tidak dapat menahan perasaan gembira selepas hasil penat lelahnya berjaya terus mengilap bakat Azri untuk menaikkan nama sukan kriket negara.
"Saya gembira, bersyukur kerana dapat anugerah ini yang merupakan anak murid pertama saya di SSBJ. Ini pengiktirafan buat kami di SSBJ, Azri juga telah mewakili negara. Dia berasal dari Kelantan, kami cungkil bakat dia melalui MSSN, dia ada intipati berbeza, unik daripada pemain lain.
"Untuk sukan kriket, pemain perlu cergas, kemahiran perlu setaraf selain sikap atlet itu sendiri. Kami mahu cungkil bakat baru, lahir pemain yang berdaya saing." tambahnya.