Jaguh angkat berat negara, Mohammad Aniq Kasdan, meraih suntikan motivasi terbaik selepas dinobatkan sebagai olahragawan buat dua tahun berturut-turut dalam Majlis Anugerah Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) di Putrajaya hari ini.
Prestasi cemerlang sepanjang dua tahun sebelum ini memberikan kelebihan buat penuntut Universiti Teknologi MARA (UITM) itu untuk mengatasi beberapa calon lain sekali gus membawa pulang Piala Pusingan, Trofi, Blazer serta hadiah wang tunai berjumlah RM6000.
Advertisement
Selain turut merakamkan penghargaan buat semua pihak yang sentiasa membantu dirinya terus berada dalam prestasi terbaik, dia mahu menjadikan ia pembakar semangat melunaskan misi melayakkan diri ke temasya Sukan Komanwel Glasgow pada penghujung Julai serta Sukan Olimpik Los Angeles 2028 nanti.
"Saya gembira, ini hasil usaha saya yang dibantu jurulatih, MSN, PKBM serta UITM. Ini batu lonjak untuk saya layak ke Sukan Olimpik dan Sukan Komanwel.
"Tahun ini kejohanan pertama saya di India, acara untuk layak ke Sukan Komanwel. Kemudian Sukan Asia.
"Akan ada Latihan pusat tetapi belum diputuskan lagi, saya lebih mahu ke luar negara untuk cari rakan sparring selain menjadi satu pengorbanan." katanya.
Sementara itu, atlet berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati, pula diangkat sebagai Olaragawati MASUM.