Harapan Colombia untuk terus melangkah jauh di Piala Dunia FIFA 2026 musnah selepas tewas 4-3 dalam sepakan penalti menentang Switzerland di pusingan 16 pasukan terbaik.
Detik paling menyayat berlaku ketika masa tambahan apabila Jaminton Campaz, gagal memanfaatkan peluang keemasan yang boleh menamatkan perlawanan lebih awal untuk pasukannya.
Sebaik sahaja perlawanan tamat, akaun media sosial Campaz dibanjiri komen negatif dan ancaman bunuh terhadap dirinya serta ahli keluarganya.
Sebagai langkah berjaga-jaga, beliau memilih untuk tidak pulang bersama rakan sepasukan ke Colombia, sebaliknya kekal di Argentina tempat beliau bermain untuk kelab Rosario Central.
Persekutuan Bola Sepak Colombia (FCF) tampil mengecam keras insiden ini, menegaskan tiada atlet mahupun keluarga mereka wajar menerima ugutan hanya kerana mewakili negara di gelanggang sukan.
Ironinya, insiden ini membuka semula luka lama yang tidak pernah benar-benar sembuh dalam sejarah bola sepak Colombia.
Pada Piala Dunia 1994, pemain pertahanan Andres Escobar tanpa sengaja menjaringkan gol sendiri ketika berdepan tuan rumah Amerika Syarikat, menyebabkan Colombia tewas 2-1 dan tersingkir awal dari kejohanan.
Hanya beberapa hari selepas insiden itu, tepatnya pada 2 Julai 1994, Escobar ditembak mati di Medellin, sesuatu yang dipercayai ramai sebagai balasan atas kesilapannya di padang.
Tragedi itu kekal sebagai salah satu babak paling gelap dalam sejarah sukan dunia, dan menjadi peringatan pahit tentang bagaimana kekecewaan peminat mampu bertukar menjadi keganasan sebenar.
Menyedari sejarah kelam ini, FCF turut mendesak pihak Peguam Negara Colombia mempercepatkan siasatan bagi mengesan individu di sebalik ancaman terhadap Campaz.
“Bola sepak harus menjadi ruang perpaduan, hormat-menghormati dan harapan, bukan medan kebencian, ugutan atau keganasan,” tegas kenyataan persekutuan itu, sambil menyeru peminat agar tidak membiarkan kekecewaan sukan bertukar menjadi ancaman nyata seperti yang pernah berlaku 32 tahun lalu.