Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
DNA sebagai pejuang hoki mengalir dalam diri Kryshant dan Kriish -- anak kembar kepada Jiwa Mohan -- yang muncul antara 50 peserta siri keempat Klinik TNB Thunderbolts 2025 di Stadium Hoki Bertam Pulau Pinang, minggu lalu.
Advertisement
Sebagai salah tonggak skuad Sukan Olimpik Sydney 2000 dan Piala Dunia Kuala Lumpur 2002, nama Jiwa Mohan tidak asing lagi dalam hoki negara dan anak kembarnya itu sedang meniti nama mengukir nama di pentas serupa.
"Saya tidak berasa tertekan sebagaimana yang anda andaikan kerana ibu membantu kami.
"Saya bangga membawa namanya serta istimewa mempunyai bapa yang merupakan seorang olimpian.
"Saya mula diperkenalkan dengan hoki sejak umur 3 tahun. Saya mula bermain di Kuala Lumpur dan apabila membesar di Australia, saya mula mewakili pasukan di sana di pelbagai peringkat umur dan sekarang B-16," kata Kryshant selaku abang.
Klinik TNB Thunderbolts yang bermula sejak 15 tahun ini bukan sekadar sebuah klinik latihan.
Ia adalah platform pencarian bakat mencungkil pemain hoki berkualiti, berdisiplin dan punya mentaliti juara.
Dibimbing oleh jurulatih berpengalaman, peserta didedahkan dengan teknik moden, pemahaman taktikal, serta nilai kerja berpasukan dan kepimpinan.
"Mereka berdedikasi untuk berlatih, (mendalami ) asas hoki di peringkat antarabangsa, hati mereka sangat kental untuk belajar.
"Sama seperti ayah mereka, agresif dalam situasi dan tahu gerakan yang dikehendaki.
"Mereka juga berkemampuan mengawal bola, membaca permainan dan kemahiran asas mereka lebih tinggi (berbanding rakan sebaya), mereka mirip pemain berumur 21 tahun," kata ketua jurulatih, Mohd Madzli Ikmar.
Namun, Kryshant menjelaskan pesanan ibu bapa yang menekankan aspek pelajaran sering menjadi azimat untuk mereka berjaya di kemudian hari.
"Saya belajar melalui atas talian di Australia dan kami juga baru pulang daripada menyertai kejohanan di Jerman.
"Ibu bapa menasihati kami agar mengimbangi kehidupan memandangkan sebaik karier tamat, kami akan ada sandaran lain serta (pelajaran) menawarkan pelbagai kelebihan," katanya.