Beberapa hari lagi sebelum temasya Sukan Komanwel 2026 membuka tirainya, jurulatih berbasikal trek endurance kebangsaan, Amir Mustafa, beranggapan anak buahnya, Lau New Joe sudah mencapai apa yang dikehendakinya untuk ke Glasgow, Scotland.
Meskipun mengakui kehebatan negara 'power house' yang bakal menurunkan atlet terbaik mereka, Amir ingin New Joe belajar segala yang perlu demi pertingkatkan lagi prestasinya dengan Sukan Asia dan Kejohanan Dunia menjadi sasaran utamanya.
"Bagi saya dia punya tahap sebelum ini sudah mencapai tahap terbaik selain membuat catatan terbaiknya, tetapi untuk bertanding di Komanwel ini tahapnya berbeza.
"Kita tidak tahu kemampuan dia dimana, tetapi saya berpuas hati dengan kemajuan yang dilalui New Joe," katanya.
Amir menegaskan terdapat 'game plan' buat New Joe apabila sedar akan kelebihan yang dimiliki negara lebih besar yang mengisi penuh tiga slot atlet dalam kategori endurance, berbanding New Joe yang hanya akan berlumba seorang diri.
"Sebelum ini kami memang adakan sesi menyaksikan video lama dengannya ketika edisi lalu, jadi kami mengkaji cara menghadapi perlumbaan dengan tiga pelumba berbanding kita hanya seorang.
"Kami perlu lihat pada strategi, teknikal dan taktikal kami nanti." kongsinya.