Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Bawah 14 Tahun menamatkan saingan Kumpulan D dengan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan untuk muncul juara kumpulan Liga Bola Sepak Piala Menteri Pendidikan Malaysia Bawah 14 Tahun 2026 bersama rakan strategik 100PLUS.
Pada perlawanan terakhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Negeri Terengganu pada Sabtu, AMD B14 terikat 1-1 dengan SMK Ibrahim Fikri.
Selaku tuan rumah, SMK Ibrahim Fikri memerlukan tiga mata untuk mengesahkan slot ke suku akhir dan membuka jaringan menerusi sepakan percuma Muhd Alif Naufal Mazlam pada minit ke-46.
Namun Aisy Mikhail Khairul Azhareen menyamakan kedudukan hasil sepakan percuma pada penghujung perlawanan, sekali gus meranapkan hasrat SMK Ibrahim Fikri untuk ke suku akhir.
Selepas melengkapkan lima perlawanan, AMD B14 mengungguli carta Kumpulan D dengan 13 mata untuk muncul juara kumpulan. Pengendali AMD B14, Rusdi Suparman, turut memuji anak didiknya atas ketenangan dan usaha mereka untuk bangkit selepas ketinggalan.
“ Kami memberi peluang kepada pemain yang kurang mendapat minit permainan untuk menambah pengalaman dalam Liga KPM dan mereka melaksanakan tugas dengan baik serta memberikan keyakinan bahawa mereka juga mampu memberi sumbangan terbaik kepada pasukan Bawah 14 Tahun.
“Kami memang sedia maklum mereka (SMK Ibrahim Fikri) memerlukan kemenangan dan mereka akan memberikan tekanan. Saya menasihatkan pemain supaya mengekalkan momentum dengan menguasai bola, selesa dengan bola dan bermain mengikut corak permainan sendiri. Alhamdulillah, walaupun kami ketinggalan, kami berjaya melakukan kebangkitan pada saat-saat akhir,”kata Rusdi.
Pengendali SMK Ibrahim Fikri , Izzat Iskandar Farisa mengakui sedikit kesilapan menghukum pasukannya sekaligus gagal ke suku akhir.
“Pada saya, pemain sudah memberikan yang terbaik sepanjang 70 minit. Cuma kami dihukum pada tiga minit terakhir, sedangkan kami hanya memerlukan satu jaringan untuk menang dan layak ke peringkat seterusnya.
“Kesilapan daripada barisan pertahanan menyebabkan pihak lawan mendapat sepakan percuma dan berjaya menukarkannya kepada gol. Sedikit mengecewakan, tetapi saya tetap bangga dengan prestasi anak-anak saya yang berjuang habis-habisan,” kata Izzat
SMK Putera kekal di tangga kedua dengan 10 mata sekali gus mara ke suku akhir selaku naib juara kumpulan, manakala SMK Ibrahim Fikri di tempat ketiga dengan lapan mata.
SMK Bukit Nenas menghuni tempat keempat dengan enam mata, diikuti SMK Seberang Temerloh dan SMK Kampong Chengal yang masing-masing mengumpul satu mata.
Kumpulan B turut menyaksikan persaingan sengit dalam usaha merebut satu tiket ke suku akhir, melibatkan SMK Seksyen 11 dan SMK Taman Desa Skudai B14 B. Dalam perlawanan yang berlangsung di Shah Alam, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan, sekali gus berkongsi satu mata.
Selepas melengkapkan empat perlawanan, kedua-dua pasukan mengumpul tujuh mata, namun SMK Taman Desa Skudai B14 B menduduki tangga kedua berdasarkan jumlah jaringan untuk mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir, manakala SMK Seksyen 11 terpaksa akur di kedudukan ketiga.
Pengendali SMK Taman Desa Skudai B14 B, Muhamad Adib Md Shariff, nyata lega dengan kelebihan jaringan pasukannya sebelum turun menentang SMK Seksyen 11.
“Kami memang menekankan kepada pemain supaya tidak terlalu bergantung kepada situasi mata yang sama pada penghujung saingan.
“Sebab itu, apabila kami dapat menjaringkan banyak gol dalam beberapa perlawanan sebelum ini, ia memberi kelebihan kepada pasukan dan satu mata sudah cukup untuk kami mara ke suku akhir,” kata Adib.
SMK Seri Titiwangsa menamatkan saingan di tangga teratas Kumpulan B dengan 12 mata.
SMK Putrajaya Presint 8(1) menamatkan saingan di tempat keempat dengan tiga mata, sementara SMK Mutiara berada di tangga kelima tanpa sebarang mata.
Satu lagi aksi yang berlangsung pada Sabtu, SMK Taman Desa Skudai menewaskan SMK Zaba 2-1 dalam aksi yang berlangsung pada 22 Ogos 2026 di Stadium Kulai.
Kemenangan itu membantu SMK Taman Desa Skudai terus mengukuhkan kedudukan mereka di puncak Kumpulan C.
Keputusan Perlawanan
Kumpulan B
SMK Seksyen 11 0–0 SMK Taman Desa Skudai B14 B
Kumpulan C
SMK Taman Desa Skudai 2–1 SMK Zaba
Kumpulan D
SMK Ibrahim Fikri 1–1 Akademi Mokhtar Dahari B14