Juara Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE Championship, Aliff Rakib, menerima satu lagi pengiktirafan apabila mengadakan kunjungan hormat di pejabat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan bersejarah tersebut.
Aliff mencipta sejarah apabila muncul sebagai rakyat Malaysia pertama yang merangkul gelaran Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE Championship, sekali gus meletakkan nama negara dalam peta sukan tempur dunia.
Kejayaan itu disifatkan bukan sekadar pencapaian peribadi, malah menjadi bukti bahawa atlet muda Malaysia memiliki bakat, disiplin serta semangat juang yang tinggi untuk bersaing di pentas antarabangsa.
Dalam pertemuan tersebut, Anwar memberikan pujian kepada Aliff kerana berjaya mengharumkan nama negara dan menjadi contoh kepada generasi muda bahawa kejayaan hanya dapat dicapai menerusi kerja keras, iltizam serta pengorbanan yang berterusan.
"Menerima kunjungan Aliff Rakib di pejabat hari ini lantas mengucapkan tahniah di atas kejayaan bersejarah muncul sebagai rakyat Malaysia pertama merangkul Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE Championship baru-baru ini," kata Anwar menerusi Facebook.
"Kejayaan ini bukan sekadar mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa, malah membuktikan bahawa anak muda negara memiliki keupayaan, disiplin dan semangat juang untuk bersaing dengan yang terbaik di dunia.
"Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk terus mengejar impian dengan tekad, iltizam dan usaha yang tidak pernah mengenal putus asa. Syabas Aliff Rakib, Malaysia berbangga dengan kejayaan ini."
Pencapaian Aliff di pentas ONE Championship diharap mampu menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk berani mengejar impian, tanpa mudah mengalah walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Kejayaan bersejarah itu sekali lagi membuktikan bahawa atlet Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan jaguh dunia apabila diberikan peluang, sokongan dan ruang untuk terus berkembang.