Berbaki enam hari menjelang kepulangan Grand Prix (GP) Bahrain ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC), bekas pemandu Formula 1 (F1) negara, Alex Yoong, menyambut penuh teruja kembalinya perlumbaan berprestij dunia itu ke Malaysia.
Namun di sebalik keterujaan terhadap kepulangan F1 ke Sepang, Alex berharap penganjuran berkenaan turut menjadi pencetus kepada usaha lebih serius dalam membangunkan sukan permotoran negara, khususnya dari aspek akar umbi, fasiliti dan sokongan kepada pelumba muda.
Jurulatih kepada pemenang pingat emas e-sukan Malaysia di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Taj Izrin, itu melihat kejayaan anak buahnya sebagai antara pencapaian yang mampu membuka mata pihak berkepentingan terhadap potensi besar bakat tempatan.
“Semua teruja. GP Bahrain sudah pasti memberikan keterujaan kepada semua pihak.
“Saya berharap F1 akan kembali ke Malaysia untuk masa akan datang dengan tanda harga yang bersesuaian.
“Saya juga melihat dengan kejayaan penganjuran GP Bahrain di Sepang serta kejayaan Taj meraih pingat emas di Sukan Asia akan meningkatkan lagi tumpuan kepada program akar umbi sukan permotoran,” katanya.
Menurut Alex, Malaysia memerlukan lebih banyak sokongan sekiranya mahu melahirkan generasi pelumba, juruteknik dan jurutera bertaraf dunia.
“Kita memerlukan lebih banyak sokongan bagi melahirkan lebih banyak pemandu.
“Daripada aspek industri permotoran, kita memerlukan lebih banyak fasiliti. Kita memiliki Sepang, kelas dunia dan cukup lengkap. Namun ia hanya satu.
“Sukar untuk melatih pelumba, juruteknik dan jurutera kerana dengan satu fasiliti sukar untuk mencapai tahap dunia.
“Jika berjaya mendapatkan lebih banyak fasiliti, ia akan membantu menghidupkan sukan permotoran di Malaysia,” katanya.
Bagi Alex, kejayaan Malaysia bukan sekadar bergantung kepada kewujudan sebuah litar bertaraf antarabangsa, sebaliknya memerlukan ekosistem pembangunan yang lebih menyeluruh.
Kepulangan GP Bahrain ke Sepang, yang dinanti selepas sekian lama, dilihat mampu menjadi platform untuk meningkatkan kembali minat terhadap sukan permotoran, selain membuka ruang lebih luas kepada generasi muda untuk menceburi bidang berkenaan.
Dengan kejayaan Taj di pentas Sukan Asia pula, Alex berharap ia menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh laluan pembangunan bakat tempatan daripada peringkat akar umbi hingga ke pentas antarabangsa.