Suasana menjadi kecoh ketika aksi persahabatan pramusim antara Bayern Munich dan Heidenheim yang berlangsung di Voith-Arena pada Selasa apabila pemain tengah meningkat naik, Jamal Musiala, pengsan dan rebah selepas enam minit dimasukkan sebagai pemain gantian.
Apa yang menjadi kebimbangan adalah ini bukan kali pertama kejadian ini berlaku ke atas Musiala –- malah insiden pemain berusia 23 tahun itu pengsan dan rebah ketika aksi persahabatan membabitkan Bayern dan RB Leipzig di Munich pada Sabtu lalu masih menjadi tanda tanya.
Musiala kemudiannya tampil memuat naik kenyataan di Instagram bagi meredakan kebimbangan mengenai situasi tersebut.
"Saya telah didiagnosis mengalami absence seizures yang bersifat sementara atau singkat, namun ia mudah dirawat. Ia berpunca daripada gangguan fungsi saraf.
"Saya menerima rawatan perubatan yang sangat baik dan berasa amat optimistik.
"Pengurusan kelab, keluarga dan rakan-rakan sentiasa berada di sisi dan menyokong saya dalam perjalanan ini," katanya.
Musiala bagaimanapun memohon orang ramai untuk menerima tahap kesihatan terkininya, serta kebarangkalian bahawa serangan sawan akan berlaku lagi.
Ini merupakan tempoh yang mencabar buat Musiala yang turut terlepas enam bulan pertama musim lalu selepas mengalami patah buku lali dalam Piala Dunia Kelab 2025.
Namun semangat luar biasa Musiala menjadi antara kekuatan untuk dia kembali beraksi serta diturunkan dalam kesebelasan utama bagi tiga daripada empat perlawanan Jerman dalam Piala Dunia 2026.