Skip to main content

Badminton

AJBC: Percubaan kali ketiga bawa tuah, Rex Lim akhirnya genggam emas

AJBC: Percubaan kali ketiga bawa tuah, Rex Lim akhirnya genggam emas

Selepas dua percubaan terdahulu berakhir tanpa kejayaan, Rex Lim Yu Hao akhirnya menikmati detik manis apabila dinobatkan sebagai juara perseorangan lelaki bawah 11 tahun pada pusingan kelayakan kelima Allianz Junior Badminton Championship (AJBC) 2026 di Kuantan, Pahang.

Kemenangan itu cukup bermakna buat pemain muda dari Selangor berkenaan yang sebelum ini dua kali mencuba nasib dalam kejohanan sama, namun sekadar mampu mara sehingga pusingan kedua pada edisi 2024 dan 2025.

Kali ini, Rex tampil dengan keyakinan berbeza untuk melengkapkan misi dan akhirnya berjaya menundukkan Set Min Hui dari SJKC Tun Tan Siew Sin, Subang Jaya, 15-13, 15-13 pada aksi final.

Pelajar SJKC Kheow Bin, Batu Caves itu mempamerkan ketenangan ketika berdepan tekanan, selain bijak mengawal rentak permainan untuk memastikan kelebihan yang dimiliki tidak terlepas begitu sahaja.

Kejayaan tersebut membuktikan kegagalan pada dua penyertaan terdahulu tidak mematahkan semangat Rex, sebaliknya menjadi pengalaman penting untuknya kembali dengan persiapan lebih baik.

“Saya sangat gembira kerana akhirnya berjaya menang selepas menyertai AJBC dua kali sebelum ini.

“Saya menyertai kejohanan ini pada 2024 dan sekali lagi tahun lalu, tetapi tidak berjaya melepasi pusingan kedua. Jadi saya sangat gembira dapat menang kali ini,” katanya.

Lebih menarik, perjalanan Rex dalam usaha mengejar impian sebagai pemain badminton berkelas dunia bukan hanya bergantung kepada kejohanan AJBC.

Pemain muda itu turut aktif menyertai pelbagai pertandingan di Malaysia dan Thailand bagi mendapatkan pendedahan lebih luas serta membiasakan dirinya dengan suasana pertandingan yang kompetitif.

Bagi Rex, kemenangan di Kuantan menjadi satu suntikan keyakinan bahawa usaha yang dilakukan selama ini mula membuahkan hasil.

“Ia perasaan yang sangat baik untuk menang di sini kerana ia menunjukkan saya berada di landasan yang betul untuk masa depan.

“Saya sangat menikmatinya dan saya tidak sabar untuk bermain dalam kategori bawah 13 tahun tahun depan,” katanya.

Rex merupakan antara 329 pemain muda yang mengambil bahagian dalam kejohanan selama tiga hari itu, sekali gus membuktikan sambutan terhadap AJBC terus mendapat perhatian dalam kalangan pemain muda dari seluruh negara.

Lebih daripada sekadar mengejar kemenangan, kejohanan seperti AJBC memberi peluang kepada pemain akar umbi untuk menguji kemampuan, membina keyakinan serta mendapatkan pengalaman pertandingan pada usia awal.

Program yang diperkenalkan oleh Allianz Malaysia Berhad itu sememangnya membawa misi untuk mencungkil, membangunkan dan meraikan bakat muda badminton di Malaysia.

Selain Rex, beberapa pemain lain turut mencipta kejayaan dalam kategori bawah 15 tahun.

Dalam acara beregu lelaki bawah 15 tahun, gandingan Muhammad Amir Amsyar Muhammad Nur Izwan dan Naqib Mifdhal Mohd Nasir muncul juara, manakala gelaran beregu perempuan menjadi milik Alya Najwa Mohd Hasri dan Nur Damia Qaisara Mohd Asri.

Saingan perseorangan bawah 15 tahun pula menyaksikan Zannhin Yap muncul juara lelaki, sementara Zafirah Izza Mohd Zamlee mengungguli kategori perempuan.

Anda mungkin berminat dengan

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Related Topics

Must Watch Video