Tumpuan terarah kepada Koh Zaenn yang muncul antara bintang pusingan kelapan Allianz Junior Badminton Championship (AJBC) di Melaka apabila meraih dua gelaran dalam kategori B-13.
Disertai 303 pemain muda menerusi lapan acara melibatkan kategori B-11, 13 dan 15, Zaenn terlebih dahulu menjuarai acara perseorangan perempuan selepas menewaskan Eva Jane Lian 15-10, 15-12 dalam aksi final yang berlangsung sengit.
Momentum kemenangan itu diteruskan apabila Zaenn bergandingan bersama Eva Jane untuk muncul juara beregu perempuan.
Namun, gandingan itu memerlukan kebangkitan daripada kekalahan set pertama sebelum mencatat kemenangan 8-15, 15-7, 15-8 ke atas Yew Sin Hui-Yew Sin Min.
Kejayaan berganda di Melaka ini mengukuhkan reputasi Zaenn dalam saingan AJBC di mana dalam pusingan keenam tahun lalu, dia meraih tempat ketiga dalam acara perseorangan perempuan selain mara ke separuh akhir acara beregu ketika itu.
"Saya hanya tumpu kepada pungut mata.
"Saya cuba kekal tenang ketika pencabar mendahului dan berikan yang terbaik," katanya di Nadi Arena.