Edisi Kelima Kejohanan Badminton Junior Allianz (AJBC) ini menandakan satu inspirasi, pembangunan dan meraikan bakat muda di seluruh Malaysia.
Dianjurkan oleh Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia), AJBC telah berkembang menjadi kejohanan badminton akar umbi yang sangat dinanti-nantikan dalam memupuk pembangunan juara badminton masa depan.
Advertisement
“Kami komited untuk menyokong impian atlet muda dan menyumbang kepada pertumbuhan badminton di Malaysia.
"AJBC lebih daripada sekadar kejohanan; ia merupakan batu loncatan untuk pemain muda mencapai aspirasi mereka dan mencapai tahap baharu dalam sukan ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Allianz Malaysia, Sean Wang.
Saingan 2025 menyaksikan 10 pemain daripada Pusingan Kelayakan telah berpeluang menyertai Program Pengenalpastian Bakat berprestij yang dianjurkan oleh Akademi Badminton Malaysia (ABM) yang di bawah bidang kuasa Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Program ini memberi ruang buat pemain berpotensi menyertai ABM serta peluang-peluang yang lain ada yang untuk memajukan kerjaya badminton mereka.
Lebih 3,000 pemain telah mengambil bahagian dalam AJBC tahun lalu dalam mempamerkan bakat dan minat mendalam terhadap sukan ini dalam kalangan belia Malaysia.
Kejohanan ini dijangka menarik minat yang sama pada tahun ini dengan 10 Pusingan Kelayakan akan berlangsung di seluruh negara.
Tahun ini, selain hadiah wang tunai, 12 pemenang juga akan dipilih untuk menyertai kem latihan antarabangsa eksklusif, di mana mereka akan berpeluang berlatih bersama jurulatih bertaraf dunia dan mengalami persekitaran global yang kompetitif.
Pusingan Kelayakan pertama akan berlangsung di Ipoh, Perak dari 24 hingga 26 April 2026, dengan pusingan selanjutnya akan menyusul di pelbagai lokasi di seluruh negara termasuk Putrajaya, Johor, Terengganu, Pahang, Sabah, Sarawak, Melaka, Kedah dan Pulau Pinang.
Pusingan Akhir AJBC, yang menampilkan finalis B-13 dan B-15 dari semua Pusingan Kelayakan, akan diadakan di Kuala Lumpur dari 2 hingga 7 Disember 2026. Setiap pusingan akan menyaksikan 24 pemain layak ke pusingan akhir. Pemain B-11 tidak akan mara ke perlawanan akhir.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, pemain yang menyertai Pusingan Kelayakan AJBC tidak perlu membayar sebarang bayaran masuk. Tiga pemenang teratas Pusingan Kelayakan bagi semua kategori umur akan membawa pulang RM500, RM300 dan RM150 (perseorangan) dan RM600, RM400 dan RM200 (beregu).
Pemain yang menamatkan saingan di tempat tiga terbaik di Pusingan Akhir akan menerima RM1,000, RM600 dan RM300 (perseorangan) dan RM1,200, RM800 dan RM400 (beregu). Tambahan lagi, 12 pemenang juga akan berpeluang menyertai kem latihan antarabangsa eksklusif.
AJBC disokong oleh Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Persatuan Badminton Malaysia.
Pendaftaran Pusingan Kelayakan 1 di Ipoh dibuka pada 6 April 2026. Untuk maklumat lanjut dan bagi mereka yang berminat untuk menyertai AJBC, sila layari www.allianz.com.my/ajbc.