Seramai 272 pemain muda menyemarakkan pusingan keenam Kejohanan Badminton Remaja Allianz (AJBC) 2026 di Miri, Sarawak, dengan saingan sengit ditampilkan bagi merebut kejuaraan dalam kategori B-11, B-13 dan B-15.
Pusingan keenam ini sekali lagi menjadi medan penting buat pemain muda dari pelbagai latar belakang untuk menguji kemampuan, selain mengumpul pengalaman berharga dalam kejohanan kompetitif di peringkat akar umbi.
Dalam kategori perseorangan perempuan B-11, Krysta Tang Jiayi muncul juara selepas menewaskan Mardhiyah Mahadzir 15-4, 15-8.
Sementara itu, Chong Yi Quan merangkul kejuaraan perseorangan lelaki B-11 selepas bangkit menewaskan Muhammad Rayyan Afasy Mohd Sarhan 14-16, 16-14, 15-11.
Kategori B-13 pula menyaksikan Raisha Adelia Rezza muncul antara pemain paling menyerlah apabila memenangi kategori perseorangan perempuan B-13 selepas menundukkan Jong Wan Jing 15-4, 15-11.
Raisha kemudian melengkapkan kejayaan berganda apabila bersama Samantha Tsin Rou Yi menjuarai beregu perempuan B-13 selepas menewaskan Francesca Angel Rekin Ronnie dan Shirllysha Ribka Joying Phang 15-11, 15-8.
Danice Tchin Mao Quan turut mencipta kejayaan berganda dalam kategori B-13 apabila menjuarai perseorangan lelaki B-13 selepas mengatasi Ezra Liau Jih Loch 12-15, 15-6, 15-4.
Danice kemudian bergandingan dengan Ezra untuk memenangi kategori beregu lelaki B-13, menewaskan Brandon Wong Yuan Wei dan Eric Chen Ying Tian 15-7, 15-11.
Bagi kategori perseorangan lelaki B-15, Darrick Ong Shang How tampil cemerlang menewaskan Beldrick Anyum Bayan 15-8, 15-10 untuk dinobatkan sebagai juara.
Darrick kemudian melengkapkan kejayaan berganda apabila bergandingan dengan Eldrin Tan Ka Fei dalam acara beregu lelaki B-15.
Mereka menewaskan Daniel Firdaus Jaberi dan Muhammad Andre Mikael Mohammed 15-12, 21-20 dalam aksi final yang berlangsung sengit.
Dalam kategori perseorangan perempuan B-15, Rosella Tania Rant @ Rantie muncul juara selepas menewaskan Chloe Liew Xuan Xuan 6-15, 15-12, 15-12.
Rosella kemudian sekali lagi menampilkan aksi cemerlang untuk mencatat kejayaan berganda apabila bersama Aizalea Izzara Kamarulzaman menjuarai beregu perempuan B-15, menewaskan pasangan Chloe Liew Xuan Xuan dan Lydia Lau Hui Nin 15-9, 15-2.