Dari katil hospital ke pentas juara Selangor Champions League (SCL), trauma lima tahun lalu akibat kemalangan jalan raya bukan penghalang buat Aizulridzwan Razali untuk merasai kemanisan di penghujung kariernya.
Bekas pertahanan Felda United dan Melaka itu membantu Klang City Sailors menewaskan Cyberjaya Teleflow 2-0 dalam perlawanan akhir SCL di Subang Jaya, baru-baru ini.
Advertisement
Kisahnya menjadi bukti bahawa usaha tidak pernah mengkhianati hasil, biarpun kemalangan motosikal pada Disember 2020 hampir meragut nyawanya.
"Selepas kemalangan, tiada pasukan yang ambil saya bermain.
"Saya gaak kecewa tapi apabila saya mendapat tawaran daripada A1 Semi-Pro yang menjadi pembakar semangat," katanya.
Lebih menyayat hati, insiden itu berlaku beberapa hari selepas dia digugurkan daripada skuad Sang Kancil.
Akibat kemalangan itu, Aizulridzwan menerima jahitan di bahagian kepala dan kaki, namun cintanya kepada bola sepak tidak pernah luntur apabila kini turut menceburi bidang kejurulatihan.
"Alhamdulillah saya dapat teruskan dalam bola sepak kerana ia mampu mengurangkan tekanan," katanya.