Sempena perayaan Deepavali tahun ini, Astro tampil dengan sebuah iklan berjudul Ondrinainthu Kondaduvom yang membawa maksud Mari kita sama-sama berkumpul dan meraikan.
Mengangkat tema perselisihan faham, persaingan dan penyatuan, iklan tersebut mengisahkan dua taman perumahan berjiran yang sudah lama tidak menganjurkan kejohanan bola sepak bersama akibat satu salah faham yang berlaku tiga dekad lalu.
Bagaimanapun, selepas 30 tahun, kedua-dua komuniti akhirnya bersetuju untuk kembali menganjurkan kejohanan tersebut bagi menghidupkan semula semangat persahabatan antara penduduk.
Namun, di sebalik persaingan dua pasukan yang bertemu di atas padang, terbongkar satu rahsia yang mengejutkan apabila kedua-dua pihak sebenarnya diwakili oleh adik-beradik.
Keadaan menjadi lebih menyentuh hati apabila kemunculan ibu mereka ketika perlawanan berlangsung mencetuskan pelbagai emosi, sekali gus membuka ruang untuk keluarga berkenaan berdamai dan kembali bersatu.
Menerusi jalan cerita yang dekat dengan kehidupan masyarakat, iklan itu juga mengingatkan penonton bahawa persaingan dan salah faham tidak seharusnya mengatasi ikatan kekeluargaan.
Sebaliknya, hubungan kekeluargaan, semangat kebersamaan dan kesediaan untuk saling memaafkan merupakan perkara yang lebih penting dalam kehidupan.
Ondrinainthu Kondaduvom menampilkan barisan pelakon yang terdiri daripada Evarani, Anthony Ferreolus, CS Murugan, Gisnervern, Kuhan, Kathiravan, Rehyan, Sandra, Kamalavathy, Sanjay dan Sri Nissha.
Kredit -- Astro Gempak