Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak, mengakui kekuatan Johor Darul Ta’zim (JDT) kini berbeza berbanding musim lalu susulan perubahan status beberapa pemain daripada import kepada pemain tempatan.
Namun, Aidil enggan menjadikan faktor berkenaan sebagai alasan selepas Kuching City tewas kepada JDT dalam aksi pembukaan musim.
“Perlawanan ini amat sukar, khususnya apabila beberapa pemain utama tidak dapat diturunkan atau masih belum mencapai tahap kecergasan perlawanan selepas terlepas aksi pramusim,” ulasnya.
“JDT juga berlatih di Sepanyol dan ada menentang kelab berintensiti tinggi seperti Chelsea yang memberi pendedahan meluas kepada Harimau Selatan sementara kami tidak memiliki peluang itu,” ulasnya.
Kuching City turut turun tanpa beberapa tonggak utama ketika berdepan juara bertahan itu, khususnya pemain yang tidak dapat diturunkan kerana terikat dengan status pinjaman daripada JDT selain masalah kecederaan.
Antara pemain yang tidak dapat diturunkan ialah Safawi Rasid, Nazmi Faiz Mansor, Ajdin Mujagic, Jimmy Raymond dan Rodney Celvin.
Ketiadaan beberapa pemain utama itu jelas memberi cabaran kepada Aidil dalam merangka strategi terbaik untuk mengekang kekuatan Harimau Selatan.
Namun, pengendali kelab dari Borneo itu tetap melihat perlawanan berkenaan sebagai pengalaman penting buat pasukannya untuk memperbaiki kelemahan menjelang aksi seterusnya.
Kekalahan tersebut juga menyaksikan Kuching City gagal mengekalkan rekod positif apabila tewas dalam aksi pembukaan selepas lima musim.
“Fokus utama hendak mengukuhkan posisi pertahanan selepas menurunkan tiga pemain import di bahagian pertahanan pada separuh masa pertama dalam usaha meraih sekurang-kurangnya satu mata ketika berdepan JDT,” katanya.