AFFIN Group (AFFIN) memperkukuhkan penglibatannya dalam arena sukan tempatan apabila diumumkan sebagai Rakan Perbankan Rasmi Selangor FC, sekali gus membuka lembaran baharu dalam hubungan kedua-dua organisasi.
Kerjasama itu bukan sekadar tertumpu kepada aspek penajaan, malah merangkumi inisiatif perbankan, pengalaman pelanggan, penglibatan penyokong serta program komuniti.
Perjanjian berkenaan ditandatangani di Menara AFFIN, TRX oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon.
Majlis itu turut disaksikan Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor merangkap Pengerusi Selangor FC.
Datuk Wan Razly berkata kerjasama berkenaan memberi peluang kepada AFFIN untuk mendekatkan pelanggan dan penyokong dengan Selangor FC menerusi pengalaman bola sepak yang lebih eksklusif.
“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Selangor FC, sekali gus mewujudkan peluang untuk membawa pelanggan dan penyokong lebih dekat dengan permainan serta menempatkan mereka di tengah-tengah aksi menerusi pengalaman bola sepak yang unik.
“Sukan memainkan peranan penting dalam menghubungkan masyarakat, mencungkil bakat dan memberi inspirasi kepada generasi akan datang,” katanya.
Kerjasama itu turut mencerminkan perubahan peranan institusi perbankan yang kini bukan hanya menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan, sebaliknya turut membina hubungan berdasarkan gaya hidup dan minat pelanggan.
Sementara itu, Johan Kamal Hamidon menyifatkan kehadiran AFFIN sebagai rakan perbankan rasmi hadir pada masa penting buat Selangor FC.
Katanya, kejayaan muncul naib juara ASEAN Club Championship 2025/26 menjadi bukti kemampuan Red Giants untuk bersaing di pentas lebih tinggi.
“Pelaburan AFFIN mencerminkan cita-cita yang sama kami pegang untuk kelab ini, iaitu bersaing pada tahap tertinggi, membangunkan bakat tempatan dan memberi kembali kepada komuniti yang telah berdiri teguh bersama kami sejak 1921,” katanya.
Kerjasama itu dijangka membuka lebih banyak peluang untuk penyokong Selangor FC dan pelanggan AFFIN menikmati pengalaman serta keistimewaan eksklusif berkaitan kelab.