El Bilal Toure menjaringkan gol kemenangan ketika 10 pemain Mali menewaskan Tunisia 3-2 menerusi penentuan penalti untuk melangkah ke suku akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).
Tunisia seakan-akan telah menyempurnakan tugas mereka ketika berdepan Mali yang terpaksa bermain dengan 10 pemain dengan menjaringkan gol pada minit ke-88 menerusi Firas Chaouat.
Advertisement
Pertahanan Mali, Woyo Coulibaly, diarah keluar padang pada minit ke-26 di Stadium Mohammed V di Casablanca, namun dihadiahkan sepakan penalti dalam masa kecederaan.
Lassine Sinayoko menyempurnakan jaringan untuk mengheret permainan ke masa tambahan, di mana mereka memastikan perlawanan harus dipisahkan menerusi penentuan penalti.
Kapten pasukan, Yves Bissouma, pemain tengah Tottenham Hotspur, gagal menyempurnakan penalti pertama Mali, kemudian Ali Abdi pula menyempurnakannya untuk Tunisia sebelum penjaga gol Eagles, Djigui Diarra menyelamatkan dua percubaan sebelum Toure memastikan kemenangan Mali.
Mali kendalian Tom Saintfiet mara ke suku akhir Jumaat depan di Tangier menentang jiran Afrika Barat, Senegal, selepas juara 2022 itu bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Sudan 3-1.