Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) dilaporkan menerima hukuman daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berkaitan beberapa insiden dalam penganjuran Kejohanan Futsal Piala Asia 2026 baru-baru ini.
Berdasarkan laporan Kompas TV, perkara itu disahkan sendiri Ahli Jawatankuasa Eksekutif PSSI, Arya Sinulingga.
Advertisement
Dalam keputusan Jawatankuasa Tatatertib AFC, PSSI dikenakan beberapa denda akibat pelanggaran keselamatan dan ketenteraman.
Denda pertama sebanyak $AS3,000 (RM11,776.50) kerana terdapat individu tanpa akreditasi memasuki lapangan dan kawasan teknikal selepas perlawanan Indonesia menentang Korea Selatan pada 27 Januari 2026.
Dalam perlawanan sama, PSSI sekali lagi didenda $AS3,000 (RM11,776.50) gara-gara penonton tanpa akreditasi masuk ke gelanggang.
Selain itu, AFC menjatuhkan denda tambahan sebanyak $AS5,000 (RM19,627.50) kerana PSSI dinilai tidak optimum dalam menjalankan kewajipan pencegahan keselamatan serta menjaga ketenteraman dan keselamatan stadium.
Denda seterusnya sebanyak $AS3,000 (RM11,776.50) dikenakan berkaitan insiden lima penonton yang menceroboh masuk ke gelanggang sewaktu perlawanan Iran menentang Afghanistan pada 1 Februari 2026.
Jumlah keseluruhan denda yang perlu dibayar oleh PSSI mencecah $AS14,000 atau sekitar RM55,000 (kira-kira Rp235 juta).