Skip to main content

Berbasikal

Adam Hakimi terus fokus latihan altitud tinggi, sasar ranking terbaik dunia

Hakimi

Pelumba berbasikal trek endurance negara, Adam Hakimi, disahkan tidak akan beraksi pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Filipina yang bakal berlangsung dari 25 hingga 31 Mac ini.

Bagaimanapun, Adam tetap dihantar menjalani latihan altitud tinggi di Kunming, China sebagai persediaan rapi bagi memastikan tahap stamina dan kecergasan fizikalnya berada pada tahap optimum.

Advertisement

Adam selepas itu dijadual menyertai Piala Trek Berbasikal Indonesia yang akan berlangsung di Solo, Jawa Tengah dari 30 April hingga 1 Mei hadapan.

Keputusan itu dibuat jurulatihnya, Fairoz Izni Abd Ghani, selepas meneliti serta menganalisis data prestasi semasa setiap atlet bagi memastikan program latihan lebih tersusun dan efektif.

Adam turut berada dalam senarai skuad pecut berpasukan sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek UCI 2026 yang bakal berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai dari 24 hingga 26 April ini.

Dalam masa sama, Adam mengakui komitmennya terhadap jadual pertandingan yang padat menuntut pengorbanan besar termasuk tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta.

“Saya cuba sertai sebanyak mungkin perlumbaan dan kalau boleh mahu berikan yang terbaik untuk meraih kedudukan ranking tertinggi.

“Saya mahu membanggakan nama diri, keluarga dan juga negara.

“Memang agak sedih sebab sebelum ini saya dapat beraya bersama keluarga, tetapi tahun ini tidak dapat bersama mereka.

“Namun keluarga sentiasa memberi semangat supaya saya melakukan yang terbaik, membanggakan nama keluarga dan negara serta sentiasa mengingati insan tersayang,” katanya.
 

Must Watch Video