"Kami akan beri segalanya.
Demikian ucapan ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Xisco Munoz, menjelang perlawanan pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) bertemu Sanfrecce Hiroshima di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), esok.
Advertisement
Sedar akan kekuatan yang dimiliki wakil kelab dari Jepun itu, Munoz menggesa anak buahnya untuk fokus sepanjang 90 minit permainan di samping tidak memberi ruang selesa buat lawan bagi mencipta peluang jaringan.
Katanya, Harimau Selatan perlu memperkemas aspek bertahan jika berhasrat untuk membawa bekalan selesa menuju aksi timbal balik kedua di Hiroshima 11 Mac depan.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu turut menarik nafas lega usai kembalinya Oscar Arribas yang bebas daripada penggantungan kad, selain tiada isu kecederaan membabitkan pemain lain.
Untuk rekod musim ini, juara Liga Super itu kebal di tempat sendiri apabila belum tewas kepada wakil kelab dari negara Matahari Terbit berkenaan.
Namun, rekod pertemuan menyaksikan Sanfrecce memenangi pertembungan terdahulu dalam peringkat Kumpulan A.
"Semua orang perlu memahami bahawa perlawanan esok sangat penting buat JDT.
"Kami perlu menguasai permainan dengan kelebihan yang ada.
"Kami mungkin sengsara jika mereka mendahului.
"Menguasai sahaja tidak mencukupi. Jika transisi mereka bagus, kami perlu membuat sesuatu.
"Kami akan sentiasa mencuba tidak kira apa," katanya.
Sementara itu di kem pelawat, ketua jurulatihnya, Bartosch Gaul, menjangkakan perlawanan sukar menanti mereka, namun memberi jaminan tiada laluan mudah buat tuan rumah meskipun beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong setia mereka.
"Semua pemain utama berada di sini.
"Semua bersedia untuk membuktikan kualiti kami.
"Kami akan bermain seperti pertembungan terakhir kami," katanya.