Antara keputusan perlawanan paling gila! Senaman jantung buat kedua-dua penyokong.
Perasaan bercampur baur buat Ratchaburi apabila hampir mencipta kejutan untuk bangkit mengatasi Shanghai Port, namun tidak kesampaian tatkala akur pada minit akhir dalam aksi pertama Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di tempat sendiri malam tadi.
Wakil China itu terlebih dahulu menyumbat tiga gol pada separuh masa pertama menerusi hatrik Prince Ampem untuk mendahului selesa 3-0.
Wu Lei kemudiannya terus melebarkan jaringan untuk pelawat terus berada di hadapan 4-0 pada minit ke-51.
Masa kebangkitan tuan rumah hadir tatkala kemasukan pemain gantian, Njiva Rakotoharimalala, membuahkan hasil untuk merapatkan jurang dengan menyumbat dua gol serentak sebelum Shanghai Port sempat menjaringkan satu lagi gol untuk kedudukan 2-5.
Larian solo Rakotoharimalala sekali lagi mendatangkan bahaya apabila mudah mencatatkan hatrik untuk gergasi Thailand itu mengejar 3-5.
Pemain kebangsaan Gajah Perang, Ekanit Panya, pula berjaya memanfaatkan peluang di hadapan gol, sekali gus menyaksikan Ratchaburi semakin hampir menyamakan kedudukan 4-5 dengan Shanghai Port mula panik.
Namun, ia sudah terlambat dan segalanya sia-sia tatkala Leonardo Nascimento menjadi wira buat Shanghai Port dengan jaringan keenam pada minit ke-97 untuk membawa pulang tiga mata berharga.
Untuk rekod, tiga bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Jonathan Viera, Roque Mesa dan Daniel Ting, beraksi buat Ratchaburi semalam.